Dr Akmal Tegas Perjuangan Penyatuan Ummah Perlu Dipertahankan

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan usaha menyatupadukan ummah bukan sesuatu yang mudah kerana pelbagai cabaran dan halangan perlu ditempuh bagi memastikan penyatuan itu dapat direalisasikan.

Namun begitu katanya, meskipun berdepan tekanan, penghinaan serta pelbagai ugutan, usaha untuk menyatupadukan ummah perlu terus dipertahankan kerana ia merupakan perjuangan yang dituntut oleh Islam.

“Bukan mudah untuk kita menyatupadukan ummah. Pelbagai cabaran dan halangan yang kita tempuh untuk memastikan ia terjadi.

“Kita ditekan, kita dihina, kita dilemparkan dengan pelbagai ugutan, tetapi kita tetap terus untuk menyatupadukan ummah ini kerana kita yakin, inilah perjuangan yang dituntut oleh Islam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Semalam, beliau mengetuai delegasi 25 orang barisan kepimpinan Pemuda UMNO ke Muktamar Dewan Pemuda Pas yang berlangsung di Kelantan.

Menurut Akmal, pencapaian penyatuan ummah yang dicapai hari ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

“Alhamdulillah kita sudah sampai ke tahap yang kita sendiri tidak boleh bayangkan hari ini. Maka kali ini tanggungjawab kita untuk pertahankan dan menjaganya dengan sepenuh hati kita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa akan ada golongan yang tidak mahu melihat ummah bersatu dan akan cuba menggagalkan usaha tersebut.

“Kerana akan ada golongan yang tidak mahu ummah ini bersatu dan akan cuba menggagalkannya.

“Insya-Allah Pemuda memimpin dan menjaga penyatuan ummah ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO