Jajaran Sempadan Darat Perlu Kesiagaan Berterusan

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Jajaran sempadan darat Malaysia-Thailand yang panjang memerlukan kesiagaan berterusan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Batalion Kelima Rejimen Sempadan (5 RS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Khamis.

“Pada Khamis saya telah mengadakan lawatan kerja ke Batalion 5 RS)di Bukit Kayu Hitam, Kedah bagi melihat sendiri kesiagaan dan kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara.

“Saya menerima taklimat mengenai perkembangan semasa keselamatan sempadan, cabaran dihadapi dan langkah-langkah yang terus dilaksanakan untuk memperkukuh kawalan serta kesiagaan operasi.

”Dengan jajaran sempadan darat Malaysia-Thailand yang panjang dari Perlis hingga Kelantan, tugas mengawal sempadan memerlukan kesiagaan berterusan, penyelarasan antara agensi dan sokongan kemudahan serta infrastruktur yang baik.

“Kawalan sempadan yang kukuh penting untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Ujarnya, tugas untuk menjaga sempadan negara juga memerlukan kewaspadaan yang berterusan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.

“Saya turut melihat sendiri pelaksanaan penugasan anggota tentera dalam menjaga keselamatan sempadan Malaysia-Thailand. Tugas ini menuntut kesiagaan dan kewaspadaan yang berterusan untuk memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Saya juga dapat bertemu dan mendengar sendiri daripada anggota mengenai penugasan serta cabaran yang mereka hadapi. Terima kasih kepada seluruh anggota yang terus menjalankan tanggungjawab menjaga sempadan negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut bergantung kepada kesepaduan dan semangat setia kawan antara anggota.

“Mengakhiri lawatan kerja saya ke Batalion 5 RS, Kem Bukit Kayu Hitam, Kedah, saya berkesempatan bertemu dengan warga kem. Kekuatan ATM bukan hanya pada aset dan persenjataan, tetapi juga kesepaduan dan semangat setia kawan.

“Walaupun berbeza latar belakang, kaum dan agama, anggota ATM bersatu dengan satu matlamat iaitu mempertahankan negara.

“Dalam pertemuan itu, saya turut berpeluang menyampaikan sumbangan kebajikan YLTAT kepada anggota dan waris yang memerlukan. Mudah-mudahan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka. Terima kasih kepada seluruh warga 5 RS atas bakti dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO