Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan Pacu Pelaburan Pahang – Wan Rosdy

KUANTAN 4 Sept – Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dijangka memperkukuh jaringan pengangkutan dan meningkatkan daya tarikan Pahang sebagai destinasi pelaburan, kata Menteri Besar Datuk Seri Won Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kemudahan berkenaan akan memudahkan akses ke Pelabuhan Kuantan dan Terengganu sekali gus memendekkan tempoh perjalanan serta memberi kemudahan kepada pelabur dan pengguna dari kedua-dua negeri.

“Jaringan pengangkutan ini akan menarik lebih ramai pelabur ke Pahang kerana pembangunan infrastruktur dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persimpangan bertingkat itu di Plaza Tol Pelabuhan Kuantan di sini semalam.

Wan Roady berkata pembangunan infrastruktur itu amat penting seiring perancangan memperluas Pelabuhan Kuantan dan Projek Bandar Aeroangkasa di Gebeng yang terletak berhampiran kawasan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya turut merancang melaksanakan pembangunan secara serentak melibatkan kawasan kira-kira 10,000 hektor, termasuk pembangunan komersial dan perumahan.

“Kita tahu syarat utama untuk menarik pelaburan ialah infrastruktur yang baik. Kalau orang hendak datang melabur, selain kemudahan seperti air dan elektrik, jalan raya juga mesti baik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi pembangunan projek berkenaan yang merangkumi lima pakej utama dengan kutipan tol di Plaza Tol Pelabuhan Kuantan akan bermula pada 6 pagi esok.

“Kadar tol LPTI dan LPT2 ialah 9.8 sen bagi setiap kilometer, manakala di tempat lain ialah 11.4 sen bagi setiap kilometer. Jadi, kadar tol LPTI dan LPT2 masih rendah dengan kualiti lebuh raya tetap sama,” katanya.

Ditanya mengenai usaha kerajaan dalam meningkatkan keselamatan jalan raya, Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2027 daripada Kementerian Kewangan bagi meningkatkan pencahayaan di lokasi yang sering berlaku kemalangan.

Beliau berkata berdasarkan data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kira-kira 80 peratus kemalangan berpunca daripada kecuaian pengguna, 13 peratus disebabkan keadaan jalan, manakala tujuh peratus lagi berpunca daripada keadaan kenderaan.

“Tanggungjawab kerajaan ialah memastikan faktor 13 peratus itu, terutama dari segi keadaan jalan raya, diberi perhatian,” katanya. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO