PAU Cetus Semangat Juang, Keberanian Hadapi PRU Ke-16 – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 3 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) perlu menjadi pencetus kepada semangat juang dan keberanian untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu telah memperlihatkan sokongan rakyat mula kembali kepada parti ini.

“Di Negeri Johor, kita dapat 80 peratus daripada undi Melayu. Di sesetengah tempat, contohnya di FELDA, ada yang kita dapat 90 peratus undi Melayu. Hal ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Kebanyakan tempat kita menang belasan ribu; ada yang kita menang puluhan ribu. 70 peratus pengundi India di Johor menyokong BN. Pengundi Cina sebelum ini kita dapat 5 hingga 15 peratus undi sahaja.
“Tetapi baru-baru ini, kita dapati 30 hingga 40 peratus pengundi Cina mengundi BN di Negeri Johor. Ini adalah satu anjakan yang cukup hebat dari segi sokongan rakyat kepada UMNO/BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara ‘Hitam Putih Kelabu’ yang ditayangkan secara langsung di platform media sosial UMNO Online, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, kemenangan UMNO/BN di PRN Negeri Sembilan juga membeti petanda positif kepada perjuangan parti.
“Di Negeri Sembilan, ada dua ‘giant’ yang tumbang. Satu di Linggi, Menteri Besar yang merupakan Naib Presiden PKR. Satu lagi ialah orang nombor satu Dap di Chennah dan beliau kalah. Kita tidak sangka dua orang ini boleh kalah dan ini adalah satu kejutan.
“Negeri Sembilan, rakyat majoriti menyokong UMNO/BN dan juga rakan persefahaman kita Perikatan Nasional (PN) dengan kemenangan 25 daripada 36 kerusi. Jadi, itu menunjukkan satu petanda yang cukup positif kepada perjuangan UMNO/BN,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa para pemimpin perlu mempunyai keberanian terutamanya dalam menentukan sebarang keputusan.
“Kita diuji dengan macam-macam perkara pada saat dan ketika ini. Semua orang tahu, kita selalu masuk muka depan surat khabar dan ujian-ujian itu kita hadapi dengan tenang. Kita kena berani dalam hidup ini.
”Nak jadi orang berani, kita perlu ada latihan. Nak jadi pemimpin kena berani. Kena berani bercakap, memberi pendapat dan memperjuangkan rakyat. Sebab itu kena ada keberanian untuk jadi pemimpin. Kalau kita penakut, pengecut… jangan jadi pemimpin. Jadi pengikut.
“Oleh itu, pada pandangan saya, penting untuk PAU ini menimbulkan semangat juang, keberanian untuk membuat satu keputusan yang tepat bagi kemenangan UMNO/BN dalam PRU ke-16 dan di PRN Melaka,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
