Merdeka Disemai Dengan Ukhuwah, Manndzri Santuni Masyarakat Setempat

TENGGARA, 2 Sept – Semangat sambutan Hari Kebangsaan terus disemarakkan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, menerusi program Ziarah Ukhuwah Merdeka dengan menyantuni tujuh keluarga yang sedang berdepan ujian kesihatan di tiga taman perumahan sekitar kawasan terbabit.

Ziarah tersebut melibatkan penduduk di Taman Sri Lalang, Taman Seri Perang dan Taman Melati Putih, selepas selesai kunjungan ke Sungai Redan sebelum itu.

Dalam kunjungan berkenaan, Manndzri meluangkan masa bertanya khabar, mendengar perkembangan kesihatan serta menyampaikan sokongan moral kepada keluarga yang diziarahi.

Beliau berkata, sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar diisi dengan acara dan perbarisan, sebaliknya wajar dimanfaatkan untuk memperkukuh hubungan sesama masyarakat serta memastikan tiada golongan yang berasa terpinggir.

“Moga sambutan Merdeka ini tetap bermakna buat semua. Walaupun sedang melalui ujian kesihatan, tetapi tidak bersendirian. Insya-Allah, kita akan terus bersama dan memberikan sokongan sedaya yang termampu.”

Menurut beliau, budaya ziarah dan mengambil berat kebajikan masyarakat perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi asas kepada pembentukan komuniti yang saling menyokong dan mempunyai semangat kebersamaan yang tinggi.

“Kesempatan seperti ini kita gunakan untuk merapatkan ukhuwah, bertanya khabar dan menunjukkan bahawa semangat Merdeka itu turut diterjemahkan melalui keprihatinan terhadap sesama kita.”

Katanya, kekuatan sesebuah masyarakat bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan pembangunan, tetapi juga melalui keupayaan masyarakat untuk saling membantu ketika berdepan kesusahan.

“Kemerdekaan membawa makna apabila kita dapat hidup dalam suasana saling menghormati, menyantuni dan mengambil berat. Mereka yang sedang diuji memerlukan sokongan dan kata-kata semangat daripada kita semua.”

Program Ziarah Ukhuwah Merdeka itu turut menjadi wadah untuk mendekati masyarakat di peringkat akar umbi, di samping mengenal pasti keperluan serta kebajikan penduduk setempat.

Manndzri berharap semangat kebersamaan yang dizahirkan sempena Hari Kebangsaan dapat diteruskan sepanjang masa, khususnya dalam membina komuniti Tenggara yang lebih prihatin, penyayang dan saling membantu.

“Merdeka bukan sekadar kita meraikan sebuah tarikh, tetapi bagaimana kita mengisi kemerdekaan dengan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan kebersamaan. Itulah semangat yang mahu kita terus suburkan dalam masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO