Jelajah Merdeka Santuni Masyarakat, UMNO Lahad Datu Turun Padang

LAHAD DATU, 2 Sept – Program Saling Mengasihi Jelajah Merdeka menjadi wadah Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul bagi mendekati dan menyantuni masyarakat setempat, khususnya golongan yang berdepan tekanan kehidupan dan cabaran ekonomi semasa.

Menerusi program berkenaan, bantuan wang tunai dan bakul makanan disampaikan kepada rakyat yang telah memohon dan dikenal pasti benar-benar memerlukan.

Turut diagihkan ialah Jalur Gemilang sebagai simbol kasih, setia dan penghargaan terhadap tanah air, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme serta kecintaan kepada Malaysia bersempena bulan kemerdekaan.

Sharif Musa berkata, Jelajah Merdeka bukan sekadar medan menyampaikan bantuan, sebaliknya menjadi platform untuk mendekati rakyat, mendengar suara mereka serta memahami permasalahan yang dihadapi di peringkat akar umbi.

Dalam kesempatan yang sama, beliau turut mengunjungi Sarjan Asli, seorang bekas anggota keselamatan yang banyak berjasa dalam mempertahankan keselamatan bumi Lahad Datu, khususnya ketika berdepan krisis pencerobohan bersenjata di Tanduo, Tungku.

Pertemuan tersebut turut menjadi ruang untuk mengenang jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang mempertaruhkan nyawa demi memastikan keamanan serta keselamatan rakyat sentiasa terpelihara.

Dalam program berasingan, Sharif Musa turut bersama mantan ketua-ketua Madai dan ketua-ketua kampung di Lahad Datu bagi mendengar, memahami serta membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi masyarakat.

Ujarnya, pelbagai permasalahan dibangkitkan dalam pertemuan tersebut, khususnya berkaitan cabaran ekonomi, peningkatan kos sara hidup serta keperluan masyarakat setempat yang memerlukan perhatian dan tindakan berterusan.

Masyarakat turut menyuarakan harapan agar wakil rakyat sentiasa turun padang untuk mendengar sendiri suara dan permasalahan mereka, bukan hanya hadir ketika musim pilihan raya atau ketika kempen berlangsung.

Menurut Sharif Musa, suara dan keluhan rakyat perlu diberikan perhatian serius kerana ia mencerminkan denyut nadi kehidupan masyarakat yang berdepan realiti ekonomi setiap hari.

Beliau berkata, ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerajui pentadbiran negara, keluhan berkaitan tekanan ekonomi dan kos sara hidup tidak kedengaran begitu ketara seperti yang dirasai sebahagian rakyat pada masa ini.

“Ini bukan sekadar soal politik, tetapi soal denyut nadi dan kehidupan rakyat. Kita perlu mendengar keluhan mereka, mencari punca dan berusaha membawa penyelesaian yang benar-benar tuntas.

“Jangan hanya turun ketika musim pilihan raya atau waktu berkempen. Selepas mendapat mandat, rakyat jangan dilupakan dan masalah mereka dibiarkan tanpa penyelesaian,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan turun padang perlu diteruskan secara konsisten supaya setiap permasalahan yang dibangkitkan dapat diteliti dan diusahakan penyelesaiannya melalui saluran yang sewajarnya.

“Insya-Allah, setiap pandangan dan permasalahan akan kita teliti dengan sebaiknya. Kita akan berusaha mencari penyelesaian yang tuntas dan berkesan demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO