PAU: Hala Tuju Parti Selari Suara, Aspirasi Akar Umbi
KUALA LUMPUR, 4 Sept – Hala tuju parti perlu terus diselarikan dengan suara dan aspirasi akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Sungai Buloh, Zuree Affendie Dzuraimi.
Ujarnya, PAU pada tahun ini juga penting untuk menentukan strategi dan mempersiapkan parti menuju ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“PAU kali ini merupakan satu perhimpunan yang amat penting, khususnya dalam membuat persiapan menuju PRU ke-16. Hala tuju parti perlu terus diselarikan dengan suara, aspirasi dan denyut nadi akar umbi.
“Dari 1 April hingga 17 Mei 2026, ahli-ahli UMNO telah bermesyuarat di peringkat cawangan di seluruh negara. Segala pandangan dan suara tersebut kemudiannya dirangkumkan melalui Persidangan Perwakilan UMNO di kesemua 191 bahagian.
“Justeru, suara dari bawah ini perlu diangkat, didengar dan diberikan perhatian sewajarnya dalam PAU pada 9 hingga 12 September 2026,” katanya kepada UMNO Online.
Tambahnya, kekuatan parti turut bergantung kepada kesatuan akar umbi di seluruh negara dan ia perlu diterjemahkan melalui gerak kerja.
“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Kekuatan UMNO tidak hanya terletak pada kepimpinan di peringkat atas… tetapi turut bergantung kepada kekuatan dan kesatuan akar umbi di seluruh negara.
“Suara akar umbi bukan sekadar pandangan untuk didengar, tetapi merupakan asas yang akan diterjemahkan kepada gerak kerja parti di seluruh bahagian.
“Dalam menghadapi PRU ke-16, fokus kita bukan sahaja kepada usaha mempertahankan institusi, memperkukuh ekonomi serta memperjuangkan pembangunan Bumiputera.
“Kita juga perlu mengambil kira corak politik, demografi, kekuatan setempat dan realiti geopolitik di setiap kawasan Parlimen yang bakal dipertandingkan,” katanya lagi.
Di samping itu, beliau berpandangan bahawa setiap strategi yang dirangka perlu seiring dengan jentera di lapangan.

“Konsep WALI perlu diterjemahkan dengan mengambil kira realiti serta kekuatan akar umbi di setiap kawasan. Strategi yang dirangka oleh kepimpinan perlu seiring dengan suara mereka yang berada di lapangan. Ini kerana merekalah yang akan melaksanakan gerak kerja sehingga ke peringkat akar umbi. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
“Jika kepimpinan dan akar umbi dapat bergerak dalam satu arah, dengan strategi yang jelas dan gerak kerja yang tersusun, insya-Allah kekuatan parti akan dapat diperkukuhkan.
“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. PRU ke-16 menuntut keberanian untuk berubah, kebijaksanaan dalam menyusun strategi dan kesungguhan untuk bekerja di lapangan.
“Akhirnya, kebijaksanaan kepimpinan bukan hanya dinilai melalui keputusan di meja perbincangan, tetapi sejauh mana keputusan tersebut mampu diterjemahkan menjadi gerak kerja yang berkesan di lapangan,” katanya lagi.
Untuk rekod, PAU 2026 akan diadakan pada 9 sehingga 12 September ini termasuk tiga program utama akan diadakan sehari lebih awal pada Selasa, 8 September, termasuk Konvensyen Pendidikan Melayu 2026.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, konvensyen berkenaan merupakan antara pengisian penting yang memberi ruang kepada pelbagai pihak untuk membincangkan serta memperkukuh agenda pendidikan Melayu. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
