Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 Berkuat Kuasa, Perkukuh Perlindungan Pelaburan Dan Pekerjaan
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 [Akta 877] mula berkuat kuasa pada 28 Ogos 2026, sekali gus menyediakan mekanisme khusus bagi mengendalikan prosiding insolvensi yang melibatkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding di lebih daripada satu bidang kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penguatkuasaan Akta 877 merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerangka perundangan negara agar kekal relevan dengan perkembangan ekonomi serta perdagangan antarabangsa.

Menurut kenyataan bersama itu, akta berkenaan akan meningkatkan kecekapan pengurusan kes insolvensi rentas sempadan selain memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan.
“Akta ini turut melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan, selain membantu memaksimumkan nilai aset penghutang dan memudahkan penyelamatan perniagaan bagi melindungi pelaburan serta memelihara pekerjaan.”
Akta 877 juga dijangka memberikan kepastian undang-undang kepada pihak berkepentingan serta menyediakan kerangka yang lebih jelas dalam menguruskan kes yang mempunyai elemen rentas sempadan.
Ia berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), dengan penyesuaian kepada undang-undang, amalan kehakiman, keadaan ekonomi dan kepentingan awam Malaysia.
Lebih penting, pelaksanaan akta ini membantu mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur dengan memastikan aset dapat diurus secara lebih berkesan, sekali gus menyokong usaha menyelamatkan perniagaan yang berdepan masalah kewangan.
Langkah berkenaan secara tidak langsung dapat melindungi pelaburan dan memelihara pekerjaan, selain memperkukuh keyakinan terhadap sistem perundangan Malaysia dalam mengendalikan urusan perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
Ditegaskan juga bahawa Kerajaan MADANI komited memastikan Akta 877 dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa. – UMNO Online
