Kemalangan Maut LPT1: Wan Rosdy Zahir Ucapan Takziah

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Muhammad Nazzatullah Nazmi, Allahyarhamah Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan dan Allahyarham adik Armaan yang meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan sebelas kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Kuantan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau turut mendoakan agar roh ketiga-tiga mangsa dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa serta kesalahan mereka.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Muhammad Nazzatullah Nazmi, Allahyarhamah Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan dan Allahyarham adik Armaan yang telah pergi menghadap Ilahi dalam satu kejadian kemalangan melibatkan sebelas kenderaan di LPT1 arah Kuantan.

“Kehilangan tiga beranak dalam sekelip mata pastinya meninggalkan kesedihan dan dugaan yang amat berat buat seluruh keluarga.

“Semoga roh ketiga-tiga Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat, ditempatkan bersama-sama golongan yang beriman dan beramal soleh, serta diampunkan segala dosa dan kesalahan mereka,” katanya.

Pada Selasa media melaporkan Empat termasuk tiga sekeluarga terbunuh serta tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4, LPT 1, berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh, semalam.

Kemalangan kira-kira 10 malam itu membabitkan sebuah lori tangki, sebuah bas, kereta (empat), kenderaan utiliti sukan (tiga), sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah pikap.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, nahas itu menyebabkan pemandu dan dua penumpang sebuah SUV terbunuh.

Menurutnya, nahas turut mengorbankan seorang lelaki menaiki sebuah lagi SUV. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO