Momentum Kemenangan PRN Jadi Suntikan Semangat Menjelang PAU 2026

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini sebagai perkembangan positif yang mampu menyemarakkan semangat ahli UMNO menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Beliau berkata kejayaan tersebut menjadi suntikan semangat kepada seluruh anggota UMNO untuk terus memperkukuh gerak kerja.

“PAU akan berlangsung tidak lama lagi… saya rasa sangat bersyukur dan percaya dengan kemenangan PRN Johor dan Negeri Sembilan yang membawa gelombang yang cukup positif untuk persidangan pada kali ini

“Saya juga berharap gelombang ini akan berterusan hingga ke PRN Negeri Melaka.

“Kita mahu semangat dan keyakinan yang ada pada ketika ini terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Azhari menyeru seluruh perwakilan, ahli UMNO di peringkat akar umbi serta para penyokong untuk hadir dengan penuh semangat bagi menyemarakkan lagi perjalanan persidangan.

Katanya kehadiran yang memberangsangkan mampu menyuntik keyakinan baharu kepada seluruh jentera parti untuk terus memperkukuh perjuangan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

“Saya juga ingin mengalu-alukan semua perwakilan, ahli UMNO di peringkat akar umbi dan para penyokong untuk hadir beramai-ramai bagi memberikan sokongan padu kepada parti yang kita sayangi ini.

“Kehadiran yang ramai akan menaikkan lagi semangat serta menyemarakkan obor perjuangan untuk menuju satu matlamat yang lebih besar, iaitu menghadapi PRU ke-16 dan seterusnya memimpin semula kerajaan,” katanya.

Untuk rekod, PAU 2026 akan berlangsung selama empat hari, bermula 9 hingga 12 September ini, dengan menghimpunkan para pendukung parti dari seluruh negara bagi memperkukuh perpaduan dan menyemarakkan semangat perjuangan parti. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO