Semangat Sehimpun Sehaluan Kukuhkan Perpaduan

SUNGAI BESAR, 1 Sept – Semangat sehimpun dan sehaluan perlu terus diperkukuh sebagai kekuatan utama dalam membina masyarakat yang maju, bersatu dan sejahtera, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii.

Beliau berkata, semangat kebersamaan tanpa mengira kaum dan latar belakang merupakan asas penting dalam memastikan keharmonian serta perpaduan yang dinikmati masyarakat terus dipelihara.

“Semangat sehimpun dan sehaluan ini perlu terus menjadi kekuatan kita dalam membina masyarakat yang maju, bersatu dan sejahtera.

“Apabila kita bersatu dengan matlamat yang sama, kita bukan sahaja mampu memperkukuh hubungan sesama masyarakat, malah dapat mencipta lebih banyak peluang untuk pembangunan ekonomi dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sehimpun Sehaluan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-69 di Sungai Besar, pada Sabtu.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh, semangat perpaduan yang dizahirkan melalui penganjuran majlis berkenaan membuktikan bahawa masyarakat setempat mampu berhimpun dalam suasana penuh keharmonian dan saling menghormati.

Dalam pada itu, Mohd Razlan turut menekankan potensi besar produk makanan dan perusahaan kecil dari Sungai Besar untuk diketengahkan ke pasaran antarabangsa.

Katanya, potensi berkenaan boleh direalisasikan melalui usaha memperkukuh aspek pembungkusan, penjenamaan, kapasiti pengeluaran dan jaringan pemasaran, termasuk cadangan mewujudkan sebuah hab produk usahawan di Selangor.

“Sungai Besar mempunyai kekuatan tersendiri khususnya dalam penghasilan kerepek, kuih-muih, makanan tradisional dan pelbagai produk perusahaan kecil yang telah lama berkembang dalam kalangan masyarakat setempat.

“Potensi ini perlu digilap secara lebih tersusun supaya produk tempatan mampu pergi lebih jauh dan menjadi kebanggaan Selangor serta Malaysia.”

Beliau turut melihat kerjasama strategik antara Wawasanita sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan menjadi penghubung dan pemudah cara kepada usahawan dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai rakan sokongan sebagai antara langkah penting untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Katanya, sinergi berkenaan mampu membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan dari segi bimbingan, latihan, pembiayaan, peningkatan kapasiti serta peluasan pasaran.

Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Wawasanita atas penganjuran majlis yang disifatkan begitu meriah serta sarat dengan semangat kemerdekaan, keharmonian dan perpaduan antara kaum.

“Semoga semangat sehimpun dan sehaluan yang kita lihat pada malam ini terus subur dan menjadi kekuatan bersama dalam membina masyarakat yang maju, bersatu dan sejahtera,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO