Semoga Semangat Merdeka Terus Subur Dalam Setiap Jiwa Rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap agar semangat merdeka terus subur dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Johari memaklumkan beliau telah berkesempatan hadir untuk menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2026, pagi tadi.

“Alhamdulillah, berkesempatan hadir menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 hari ini.
“Bangga melihat semangat Merdeka yang begitu jelas dipamerkan menerusi perbarisan dan persembahan daripada pelbagai kontinjen, masing-masing tampil penuh disiplin, semangat serta rasa cinta kepada tanah air.
“Lebih menggembirakan apabila dapat bersama-sama rakyat meraikan detik yang penuh bermakna ini,” katanya.
Tambahnya, sambutan tersebut juga mampu menggamit kembali jasa dan pengorbanan generasi terdahulu untuk dihargai oleh setiap lapisan masyarakat.

“Sambutan sebegini bukan sahaja menghidupkan semangat patriotisme, tetapi mengingatkan kita untuk sentiasa menghargai nikmat kemerdekaan serta jasa dan pengorbanan generasi terdahulu.
“Semoga semangat Merdeka terus subur dalam jiwa setiap rakyat Malaysia dan menjadi kekuatan untuk kita bersama-sama membina negara,” katanya lagi. – UMNO Online
