Semoga Semangat Patriotik Dizahirkan Terus Segar Dalam Jiwa Setiap Anak Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar Sambutan Hari Kebangsaan yang berlangsung pada pagi tadi akan menyemarakkan semangat patriotik dalam jiwa setiap anak muda.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, semangat yang diperlihatkan rakyat tidak pernah terasa biasa meskipun sambutan diadakan saban tahun.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana tahun ini saya sekali lagi dapat bersama-sama ribuan rakyat Malaysia meraikan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya.

“Setiap tahun kita menyambut Hari Kebangsaan, tetapi semangat yang diperlihatkan rakyat tidak pernah terasa biasa. Di sinilah kita melihat bahawa di sebalik segala perbezaan, kecintaan kepada tanah air sentiasa menemukan kita.

“Apabila Jalur Gemilang dikibarkan dan lagu Negaraku berkumandang, kita berdiri sebagai satu bangsa yang berkongsi tanah air dan masa depan yang sama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mempertahankan keamanan yang diwarisi akan Malaysia melangkah lebih maju.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh kontinjen perbarisan, pasukan keselamatan, para petugas, sukarelawan serta semua yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan pada tahun ini.

“Semoga semangat yang kita zahirkan pada pagi tadi terus segar dalam jiwa setiap anak Malaysia. Kita pertahankan keamanan yang diwarisi, kita pelihara keharmonian yang terbina dan kita terus berganding bahu membawa Malaysia melangkah lebih jauh.

“Selamat Hari Kebangsaan ke-69, Malaysiaku! Merdeka! Merdeka!! Merdeka!” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO