Kemerdekaan Mesti Dipelihara, Dipertahankan Dan Diwariskan – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan tetapi ia mesti dipelihara, dipertahankan dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemerdekaan yang dikecapi adalah hasil daripada perjuangan, pengorbanan, air mata dan darah generasi terdahulu.

“69 tahun lalu, sebuah negara merdeka lahir daripada perjuangan, pengorbanan, air mata dan darah generasi terdahulu. Hari ini, tanggungjawab kita adalah memastikan kemerdekaan terus dipertahankan dan kedaulatan negara tidak sesekali tergugat.
“Dalam dunia yang semakin kompleks, pertahanan negara bukan hanya bergantung kepada kekuatan ketenteraan. Inilah semangat Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH, yang menuntut negara kukuh, masyarakat berdaya tahan dan rakyat yang bersatu.
“Semangat HANRUH mengingatkan kita bahawa mempertahankan negara bukan bererti semua perlu mengangkat senjata. Setiap rakyat mempunyai peranan melalui perpaduan, daya tahan dan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perpaduan merupakan kekuatan terbesar dalam mempertahankan kemerdekaan dan keamanan negara.
“Walau berbeza kaum, agama dan latar belakang, kita berkongsi tanah air serta masa depan yang sama. Perpaduan inilah antara kekuatan terbesar dalam mempertahankan keamanan dan kemerdekaan negara.
“Sempena Hari Kebangsaan ini, marilah kita bersama-sama merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia yang terus berkhidmat mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.
“Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan. Ia mesti dipelihara, dipertahankan dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Selamat Hari Kebangsaan,” katanya lagi. – UMNO Online
