UPNP Ambil Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Aktiviti Pemindahan Bahan Mineral Di Raub – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti pemindahan bahan mineral di Raub, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menerusi satu kenyataan, beliau memaklumkan bahawa satu operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan susulan rondaan pemantauan dan risikan terhadap aktiviti pemindahan bahan mineral yang disyaki bijih besi.

“Satu operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh UPNP pada 29 Ogos 2026 di kawasan Sungai Batu, Mukim Batu Talam, Daerah Raub, susulan rondaan pemantauan dan risikan terhadap aktiviti pemindahan bahan mineral yang disyaki bijih besi.

“Operasi melibatkan 23 orang anggota UPNP daripada Zon Pahang Barat, Zon Pahang Tengah, Sektor Penyelidikan dan Remote Sensing serta Sektor Tugas Khas.

“Hasil risikan termasuk pemantauan menggunakan dron telah mengesan tiga buah lori treler yang disyaki membawa bahan mineral keluar dari kawasan perlombongan.

“Ketiga-tiga lori berkenaan kemudiannya ditahan untuk pemeriksaan. Semakan mendapati pemandu mengemukakan Borang 13D dan Delivery Order (DO) dari kelulusan Kawasan lain, bagi tujuan pengangkutan bahan mineral,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pihak penguat kuasa telah menahan tiga orang pemandu lori untuk membantu siasatan dan bertindak menyita lori berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lokasi ‘stokpile’ bahan mineral ditunjukkan oleh pemandu berada di luar kawasan perlombongan yang dibenarkan seperti yang dinyatakan dalam dokumen dikemukakan.

“Pihak penguat kuasa turut mendapati lokasi stokpile tersebut berada di kawasan yang mempunyai Lesen Pendudukan Sementara (LPS), dan ketiga-tiga pemandu gagal mengemukakan dokumen atau kelulusan yang sah berkaitan lokasi berkenaan.

“Susulan itu, pihak penguat kuasa telah menahan tiga orang pemandu lori untuk membantu siasatan serta menyita tiga buah lori treler yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pemindahan bahan mineral tersebut.

“Selain itu, pihak penguat kuasa turut merampas tiga keping Borang 13D dan mengambil dua sampel bahan mineral yang disyaki bijih besi bagi tujuan penyiasatan untuk pendakwaan,” katanya lagi.

Tambahnya, Wan Rosdy turut mengarahkan supaya kertas siasatan dibuka dan siasatan menyeluruh dijalankan.

“Tindakan sitaan dan tangkapan telah dibuat di bawah Seksyen 137 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, manakala kesalahan berkaitan maklumat dan kemungkiran terma atau syarat sedang disiasat di bawah Seksyen 159 dan Seksyen 165 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.

“Ketiga-tiga individu yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis, manakala ketiga-tiga kenderaan yang disita telah dibawa ke Tapak Sitaan UPNP Zon Pahang Tengah di Temerloh.

“Dalam pada itu, saya telah mengarahkan supaya kertas siasatan dibuka dan siasatan menyeluruh dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap syarat dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan sumber mineral tanpa mematuhi undang-undang.

“Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan sumber mineral tanpa mematuhi undang-undang, syarat lesen, permit dan kelulusan yang ditetapkan.

“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa, termasuk melalui penggunaan teknologi pemantauan dan risikan, bagi memastikan hasil bumi negeri diurus secara teratur, bertanggungjawab dan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO