Acara Berskala Antarabangsa Berpotensi Tarik Pelancong
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Penganjuran acara berskala antarabangsa mempunyai potensi besar untuk menjadi tarikan pelancong, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memaklumkan beliau telah berkesempatan menyempurnakan pelepasan 10,000 peserta bagi kategori 5KM Larian Ria.

“Seawal pagi lagi, sekitar Kuala Lumpur sudah dibanjiri ribuan pelari dengan semangat dan warna-warni sambutan Hari Kebangsaan.
“Alhamdulillah, saya difahamkan seramai 25,000 peserta tempatan dan antarabangsa telah mengambil bahagian dalam Malaysia Marathon 2026 yang julung kali dianjurkan ini dan turut mendapat pengiktirafan World Athletics.
“Pagi tadi saya turut berkesempatan menyempurnakan pelepasan 10,000 peserta bagi kategori 5KM Larian Ria di KLCC. Apa yang menariknya sebentar tadi, kita turut menyaksikan Jalur Gemilang sepanjang satu kilometer dibawa bersama oleh 1,000 pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, menambahkan lagi kemeriahan dan semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan pihak yang menjayakan acara tersebut.
“Saya yakin penganjuran acara berskala antarabangsa seperti ini mempunyai potensi besar untuk menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan negara.
“Sukan mampu membawa manusia dari seluruh dunia bertemu di Malaysia, menikmati keindahan negara kita dan pada masa yang sama merancakkan aktiviti ekonomi serta pelancongan.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua peserta dan pihak yang menjayakan Malaysia Marathon 2026. Insya-Allah, saya berharap penganjuran ini dapat terus dikembangkan sehingga menjadi antara acara maraton ikonik di rantau ini dan membawa lebih ramai pengunjung antarabangsa ke Malaysia pada masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online
