UMNO Berani Berubah, Kekal Teguh Pada Prinsip Perjuangan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – UMNO mesti mempunyai keberanian untuk berubah dan pada masa yang sama berpegang teguh pada prinsip perjuangan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan, perubahan tersebut amat dituntut dalam mendepani kedinamikan politik yang semakin mencabar.

“Dalam mendepani kedinamikan politik, UMNO mesti mempunyai keberanian untuk berubah. Bukan pada prinsip dan asas perjuangan, tetapi pada pendekatan, gerak kerja serta cara kita memahami denyut nadi rakyat hari ini.
“Itulah antara semangat yang saya titipkan kepada para peserta ketika merasmikan Pemukiman UMNO Negeri Terengganu di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, semalam.
“Belajarlah melihat realiti, bermuhasabah dengan jujur dan bersama mencari solusi serta merancang gerak kerja yang perlu dilakukan selepas ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada UMNO Negeri Terengganu yang mengambil inisiatif untuk menghimpunkan seluruh kepimpinan pada pemukiman tersebut.
“Saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan UMNO Negeri Terengganu atas inisiatif menghimpunkan seluruh kepimpinan dalam pemukiman ini.
“Ruang seperti ini penting untuk kita merapatkan saf, menyatukan fikrah dan memperkukuh kembali tekad bahawa sebesar mana pun cabaran yang mendatang, perjuangan mesti diteruskan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru UMNO Terengganu untuk terus mempunyai keyakinan pada kekuatan organisasi.

“Kepada seluruh keluarga UMNO Terengganu, jangan sesekali hilang keyakinan. Kekuatan kita masih ada pada ahli, organisasi, pengalaman dan akar perjuangan yang telah lama dibina.
“Jangan tunggu rakyat kembali kepada UMNO, kitalah yang mesti kembali kepada rakyat.
“Insya-Allah, kita bina semula kekuatan ini dengan kesatuan, kerja keras dan keberanian untuk berubah,” katanya lagi. – UMNO Online
