Angkat Sumpah ADUN Ikatan Amanah Kepada Rakyat – Hairi

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah menyifatkan majlis angkat sumpah Ahli Dewan Negeri (ADUN) Johor bagi penggal baharu sebagai satu ikatan amanah antara wakil rakyat dengan rakyat yang memberikan kepercayaan.

Mohd Hairi yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor berkata, sumpah yang dilafazkan bukan sekadar ucapan atau lafaz di atas kertas, sebaliknya membawa tanggungjawab besar untuk terus berkhidmat dan memastikan setiap keputusan yang dibuat di Dewan Negeri memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Khamis.

“Buat saya, sumpah yang dilafazkan  bukan sekadar apa yang ditutur atau dibaca di atas kertas. Ia adalah ikatan amanah antara kita dengan rakyat yang memberikan kepercayaan.

“Amanah untuk berkhidmat, amanah untuk bersuara dan amanah untuk memastikan setiap keputusan yang dibuat di dalam dewan ini benar-benar memberi makna kepada kehidupan rakyat di luar sana,” katanya.

Persidangan berkenaan memberi tumpuan kepada dua agenda utama iaitu proses pemilihan dan pelantikan Speaker Dewan Negeri Johor serta majlis mengangkat sumpah Ahli-Ahli Dewan Negeri bagi penggal baharu.

Dalam perkembangan sama, Mohd Hairi turut menghadiri Majlis Apresiasi Barisan Nasional Backbenchers Club (BNBBC) 2022-2026 pada tengah hari sebagai penghargaan terhadap perjalanan dan kerjasama sepanjang penggal lalu.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua rakan seperjuangan atas kerjasama, sokongan dan semangat kekitaan yang dibina sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, segala pengalaman yang dilalui sepanjang penggal lalu menjadi bekalan berharga untuk meneruskan khidmat dan perjuangan dalam penggal baharu demi kepentingan rakyat Johor.

“Semoga Allah SWT permudahkan urusan kita semua dalam menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat Johor,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO