Malaysia Sasar Nilai Eksport Peranti Perubatan Lebih RM50 Bilion Menjelang 2030 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Malaysia menyasarkan eksport peranti perubatan bernilai lebih RM50 bilion menjelang 2030, melonjak daripada RM34.54 bilion yang direkodkan tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran eksport itu merupakan satu daripada tiga aspirasi yang dicadangkan untuk mengukur kemajuan negara dalam membangunkan industri teknologi perubatan (MedTech) menjelang 2030.

“Kita mempunyai tapak pembuatan, akses pasaran dan keyakinan global.

“Bagaimanapun, fasa pertumbuhan eksport seterusnya mesti semakin meningkat, dipacu produk bernilai tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026 di sini, hari ini.

Aspirasi kedua adalah untuk memajukan sekurang-kurangnya 10 juara MedTech Malaysia yang mampu bersaing pada peringkat serantau dan global.

Ahmad Zahid berkata Malaysia akan terus mempelawa kalangan syarikat MedTech antarabangsa yang terkemuka di samping membangunkan firma tempatan yang mencipta teknologi, harta intelek sendiri dan bersaing dalam arena antarabangsa.

Aspirasi ketiga pula, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pekerjaan yang diwujudkan oleh pelaburan baharu teknologi perubatan menjelang 2030 adalah jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS).

Beliau berkata indeks MTS sektor peranti perubatan hanya berada pada 33.1 peratus pada 2025.

“Modal boleh mengalir masuk ke Malaysia manakala keupayaan dan kepakaran mesti kekal di Malaysia. Jika kita serius menjadikan sektor ini sebagai industri bernilai tinggi, justeru pekerjaan yang diwujudkannya juga mestilah menjadi pekerjaan yang semakin bernilai tinggi,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara, berkata bakat mesti dibangunkan sebelum pelaburan direalisasikan, bukan selepas syarikat menghadapi kekurangan tenaga kerja.

“Jangan datang apabila anda hanya perlukan tenaga kerja semata-mata. Beradalah di sini lebih awal, membantu membentuk program, mengenal pasti kemahiran masa depan, menyediakan pendedahan industri dan membuka lebih banyak laluan perantisan,” katanya.

Pada 2025, pelaburan baharu peranti perubatan bernilai RM4 bilion telah diluluskan merentas 46 projek, mewujudkan hampir 3,400 peluang pekerjaan.

Industri peranti perubatan global, yang bernilai lebih AS$572 bilion tahun lepas, diunjurkan melebihi USD1 trilion menjelang 2034.

IMDEC 2026, diadakan dari 26 hingga 28 Ogos, menghimpunkan lebih 160 pempamer dan 50 pakar serantau dan antarabangsa untuk berkongsi pandangan mengenai peraturan, inovasi dan transformasi penjagaan kesihatan. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO