Semarak Jalur Gemilang, Kukuhkan Semangat Patriotik

JEMPOL, 28 Ogos – ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir meneruskan usaha menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69 dengan turun padang mengadakan ‘walkabout’ di sekitar Pekan Rompin, sambil beramah mesra bersama para peniaga dan masyarakat setempat.

Dalam program tersebut, beliau turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada masyarakat setempat sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-69.

Menurut Mohd Zaidy, kibaran Jalur Gemilang di setiap premis dan kediaman diharapkan menjadi lambang kecintaan, kebanggaan serta semangat rakyat kepada tanah air tercinta.

“Semoga kibaran Jalur Gemilang di setiap premis dan kediaman menjadi lambang kecintaan, kebanggaan serta semangat kita kepada tanah air tercinta.”

Semangat menyemarakkan bulan kemerdekaan turut diteruskan apabila beliau berkesempatan merasmikan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Tabika KEMAS A, B dan C Taman Bahau.

Majlis berlangsung dengan meriah apabila anak-anak kecil hadir dengan penuh semangat patriotik, mengenakan pakaian bertemakan kemerdekaan serta bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

Mohd Zaidy berkata, sambutan seperti itu amat penting dalam menyemai rasa cinta kepada negara sejak usia kecil, di samping memberi kefahaman tentang erti kemerdekaan, perpaduan dan keharmonian yang dinikmati hari ini.

Beliau turut merakamkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga KEMAS, para guru, ibu bapa serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan tersebut.

Dalam kesempatan sama, beliau menyeru agar masyarakat bersama-sama menyemarakkan bulan kemerdekaan dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Dalam pada itu, beliau turut meneruskan agenda Ziarah Kasih dengan menziarahi penduduk di Taman Bahau, iaitu Abu Tauher Tohak dan Kamarurzaman Adam.

Ziarah tersebut menjadi ruang untuk beliau bertanya khabar, mendengar sendiri keadaan mereka serta menyampaikan sedikit tanda ingatan dan keprihatinan.
“Insya-Allah, hubungan bersama masyarakat akan terus diperkukuh. Bukan sahaja ketika senang, tetapi juga hadir memberi sokongan apabila diperlukan.”

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesihatan, kekuatan dan mempermudahkan segala urusan mereka sekeluarga. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO