Bakat Muda IPT Perlu Diberi Ruang, Pendedahan Untuk Memimpin – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menekankan kepentingan pembangunan bakat kepimpinan muda dalam kalangan warga institusi pendidikan tinggi (IPT).

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, perkara itu penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan sektor pendidikan tinggi negara.

“Saya bersama para pensyarah dan pegawai tadbir muda daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh Pantai Timur bagi berkongsi pandangan dan pengalaman tentang kepimpinan, tanggungjawab serta peranan generasi muda dalam mencorak masa depan pendidikan tinggi negara.

“Kita percaya pembangunan sesebuah institusi bukan hanya bergantung kepada sistem dan dasar yang baik, tetapi juga kepada kualiti manusia yang akan memimpinnya pada masa hadapan.

“Sebab itu kita perlu menyediakan ruang kepada bakat-bakat muda di IPT untuk diasah, diberikan pendedahan dan keberanian memikul tanggungjawab yang lebih besar,” katanya.

Dr Zambry berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadiran beliau pada Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Timur diteruskan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Dalam pada itu, sesi tersebut turut memberi ruang kepada beliau untuk berkongsi pandangan berkaitan cabaran kepimpinan dalam persekitaran yang semakin kompleks,

“Saya turut berkongsi tentang cabaran memimpin dalam suasana yang semakin kompleks, bagaimana membuat keputusan, mengurus perbezaan pandangan, membina kepercayaan dan paling penting, sentiasa meletakkan amanah serta kepentingan organisasi mengatasi kepentingan peribadi.

“KARISMA bukan sekadar program latihan kepimpinan. Saya mahu ia menjadi wadah melahirkan barisan pelapis kepimpinan pendidikan tinggi yang berilmu, berintegriti, berani membawa perubahan dan bersedia memimpin.

“Insya-Allah, daripada kelompok pemimpin muda inilah akan lahir mereka yang kelak menerajui fakulti, universiti dan seterusnya menyumbang kepada kepimpinan negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO