UMNO Putrajaya Perkasa Ilmu Keibubapaan
PUTRAJAYA, 28 Ogos – Cabaran mendidik dan membesarkan anak-anak pada masa kini semakin kompleks, justeru usaha memperkasa ilmu keibubapaan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membantu ibu bapa membentuk keluarga yang lebih kukuh dan anak-anak yang berakhlak serta berdaya saing.
Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Dr. Tengku Iqbal Munawwir, berkata program berbentuk pendidikan keibubapaan seperti itu wajar diperbanyakkan kerana memberi ruang kepada ibu bapa, khususnya golongan muda, untuk mendapatkan panduan dan ilmu dalam mendepani cabaran semasa.
Beliau berkata, peranan ibu bapa bukan sekadar menyediakan keperluan asas anak-anak, sebaliknya turut merangkumi aspek pembentukan karakter, komunikasi, emosi dan nilai kehidupan yang menjadi asas kepada pembentukan generasi masa depan.

“Zaman sekarang banyak cabaran menjadi ibu bapa. Sebab itu program yang baik sebegini perlu dilakukan dengan lebih kerap supaya dapat membantu ibu bapa muda khususnya untuk menimba ilmu dan memahami cara terbaik membesarkan anak-anak dalam persekitaran semasa.
“Dalam mendidik anak-anak, kita perlulah memperkasakan ilmu keibubapaan kerana ibu bapa merupakan antara insan paling penting dalam membimbing dan membentuk karakter anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Kemahiran Keibubapaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Putrajaya 2026 di Auditorium Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya, semalam.
Ujarnya, kursus berkenaan menjadi platform bermanfaat kepada para ibu bapa untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam aspek keibubapaan, sekali gus membantu mereka menangani pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak seiring perubahan zaman.
Menurut Tengku Iqbal, kerjasama antara ibu bapa, guru dan komuniti juga amat penting bagi memastikan proses pembentukan generasi muda dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Anak-anak kita menghabiskan sebahagian masa mereka di sekolah bersama guru. Jadi, hubungan yang baik antara ibu bapa dan guru amat penting supaya kita dapat bersama-sama membentuk generasi masa depan yang mempunyai ilmu, sahsiah dan jati diri,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para guru dan semua pihak yang terus memainkan peranan dalam membantu ibu bapa membentuk peribadi anak-anak.
Katanya, pendekatan keibubapaan perlu sentiasa berkembang dan disesuaikan dengan realiti semasa, khususnya dalam mendepani pengaruh teknologi, media sosial serta perubahan persekitaran sosial yang turut memberi kesan kepada perkembangan anak-anak.
Justeru, beliau berharap program seperti Kursus Kemahiran Keibubapaan KEMAS dapat diteruskan secara berkala dengan penglibatan lebih ramai ibu bapa supaya ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian. – UMNO ONLINE
