Diuji, Dikritik… Perjuangan Pemuda UMNO Tetap Teguh – Izwan Kamar
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Lebih tujuh dekad perjalanan Pergerakan Pemuda UMNO membuktikan bahawa perjuangan anak muda dalam parti tidak pernah luntur, malah terus menyala merentasi perubahan zaman, cabaran politik dan tuntutan rakyat.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol, Mohd Izwan Kamar Badri berkata, usia 77 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi bukti ketahanan, kesetiaan dan keberanian Pemuda UMNO dalam mendepani pelbagai gelombang politik negara.
Katanya, Pemuda UMNO telah melalui pelbagai zaman, gelombang cabaran serta pelbagai ujian yang menguji ketahanan perjuangan.
“77 tahun bukannya satu tempoh yang singkat. Ia telah bukti bahawa Pemuda UMNO melalui pelbagai zaman, diuji dengan pelbagai cabaran dan onak duri tetapi tetap berdiri teguh sebagai wadah perjuangan anak muda Melayu serta rakyat Malaysia.
“Namun… kita tidak boleh hanya berbangga dengan sejarah. Sejarah menjadi bukti untuk melangkah lebih jauh. Pemuda UMNO mesti berani keluar daripada zon selesa, mendengar denyut nadi rakyat dan tampil menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi generasi hari ini.
“Generasi muda mahu melihat tindakan, bukan sekadar slogan. Mereka mahu pemimpin yang berani bersuara, berani mengambil tanggungjawab dan tidak takut mempertahankan perkara yang benar,” katanya kepada UMNO Online.
Justeru, kata Izwan, Pemuda UMNO harus menjadi suara yang lantang, tetapi dalam masa sama dekat dengan rakyat.
Mengulas lanjut kata Izwan Kamar, pendekatan Pemuda UMNO sentiasa segar dengan perubahan generasi, khususnya dalam mendekati anak muda.
“Pemuda UMNO mesti menjadi jambatan antara aspirasi generasi baharu. 77 tahun bukan noktah, ini adalah amanah untuk terus menyambung legasi perjuangan dengan keberanian, disiplin dan kesetiaan kepada parti serta rakyat.
“77 tahun Pemuda UMNO mesti menjadi titik kebangkitan. Kita bukan sekadar menyambut ulang tahun, tetapi memperbaharui tekad untuk terus berjuang, terus berkhidmat dan terus membina masa depan negara,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru agar generasi muda tidak takut untuk berbeza pandangan, khususnya apabila perjuangan yang dibawa mempunyai asas, prinsip dan berpihak kepada kepentingan rakyat.
“Jangan takut untuk bersuara. Jangan takut untuk berbeza apabila perkara yang diperjuangkan itu benar. Pemuda tidak boleh terlalu selesa sehingga akhirnya suara rakyat terpinggir.
“Kalau kita memilih untuk diam kerana takut dikritik atau tidak mahu berdepan tekanan, siapa lagi yang akan membawa suara rakyat. Pemuda UMNO mesti berani menjadi suara yang membela, bukan sekadar menjadi pemerhati,” tegasnya. – UMNO Online
