Pemuda UMNO Kekal Berani Bersuara… Pemimpin Masa Hadapan – Fikhran Hamshi
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Sepanjang 77 tahun penubuhannya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menjadi antara wadah penting dalam perjuangan orang muda, khususnya dalam menyuarakan pandangan, aspirasi dan keresahan generasi muda serta membawa suara rakyat kepada pihak yang berkepentingan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi berkata, lebih penting Pemuda UMNO juga telah menjadi “kilang kepimpinan” yang melahirkan ramai pemimpin berkualiti untuk negara.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Fiki menjelaskan, daripada gerakan inilah lahir pemimpin yang kemudiannya menerajui negara sehingga ke peringkat Perdana Menteri, Menteri dan pelbagai jawatan kepimpinan tertinggi.
“Tradisi ini terus diperkasakan dan Pemuda UMNO mesti kekal menjadi medan untuk melatih, membentuk dan melahirkan pemimpin yang berwibawa, berani serta mempunyai keberanian untuk membuat keputusan demi kepentingan rakyat.
“Dalam menghadapi dunia tanpa sempadan hari ini, Pemuda UMNO juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Media sosial bukan lagi sekadar platform komunikasi, tetapi telah menjadi medan utama pembentukan pandangan masyarakat, khususnya dalam kalangan anak muda.
“Sempena ulang tahun ke-77 ini, marilah kita memperkukuhkan semula semangat perjuangan, memperkasakan organisasi dan memastikan Pemuda UMNO terus relevan dalam menghadapi cabaran generasi baharu,” katanya.
Fiki juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu harap Pemuda UMNO perlu lebih agresif, kreatif dan pantas dalam menyampaikan suara rakyat melalui platform digital.

“Kita tidak boleh membiarkan ruang media sosial dipenuhi maklumat palsu, misinformation dan fitnah. Pemuda UMNO mesti mengambil tanggungjawab untuk menyemak, membetulkan dan menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat.
“Dalam hal ini, prinsip Islam yang menegah penyebaran fitnah mesti sentiasa menjadi pedoman. Jangan kerana mengejar populariti atau sokongan di media sosial, kita akhirnya menyumbang kepada penyebaran sesuatu yang tidak benar.
“Kita telah melalui satu pengalaman besar pada tahun 2018 apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan. Antara pengajaran yang perlu kita ambil ialah betapa besarnya kesan persepsi, naratif dan penyebaran maklumat dalam membentuk pandangan rakyat,” jelasnya.
Seterusnya kata Fiki lagi, di bawah kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh, Pemuda UMNO tampil dengan pendekatan ‘Pemuda Cara Kita’.
“Pemuda Cara Kita iaitu satu pendekatan yang memperlihatkan keberanian Pemuda untuk membawa suara rakyat dengan identiti dan pendekatan tersendiri. Aspirasi ini dapat diterjemahkan hingga ke seluruh peringkat kepimpinan Pemuda UMNO, sama ada di peringkat negeri, bahagian, cawangan mahupun dalam kalangan seluruh ahli Pemuda.
“Keberanian untuk bersuara tidak bermaksud kita mahu menentang sesiapa. Sebaliknya, ia bermaksud kita bersedia menyuarakan perkara yang benar, memperjuangkan kepentingan rakyat dan membawa aspirasi anak muda, walaupun kadangkala pandangan tersebut berbeza daripada arus perdana,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, keberanian bersuara perlu disertai dengan turun ke padang serta mendengar keluhan rakyat bagi memastikan setiap perkara dapat diselesaikan.
“Anak muda mesti berani bersuara. Pemuda mesti berani membawa isu rakyat dan setiap pemimpin Pemuda UMNO di kawasan masing-masing harus menjadi penghubung yang benar-benar memahami denyut nadi masyarakat. Selamat Ulang Tahun Ke-77 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online.
