Bulan Kebangsaan Wadah Kenang Sejarah, Hargai Perjuangan Terdahulu

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan bulan kebangsaan sebagai wadah untuk mengajak rakyat mengenang sejarah negara yang dibina atas toleransi dan rasa saling menghormati.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata semangat tersebut perlu diterjemahkan menerusi sikap dan tindakan yang dapat memelihara keharmonian serta perpaduan masyarakat.

“Bulan Kebangsaan mengajak kita mengenang sejarah, menghormati perjuangan terdahulu dan menebalkan kecintaan kepada negara. Malaysia dibina atas toleransi, persefahaman dan rasa saling menghormati.

“Dalam menzahirkan patriotisme, ada tiga perkara yang perlu kita elakkan.
Pertama, jangan salah gunakan tanggungjawab dan kuasa untuk kepentingan diri. Cinta kepada negara bukan sahaja pada apa yang kita beri, tetapi juga apa yang tidak kita ambil.

“Kedua, jangan menjadi punca kerosakan keharmonian negara dengan sikap rasis, prejudis, cauvinis serta menyebarkan prasangka buruk.

“Ketiga, jangan terlalu taasub dengan dunia luar sehingga merendahkan warisan, bahasa, budaya dan identiti nasional kita,” katanya,

Khaled berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan & Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Pertahanan 2026.

Dalam pada itu beliau turut sama menyatakan ketidaksetujuan terhadap usaha memboikot sambutan Hari Kebangsaan kerana sentimen terhadap isu tertentu termasuk isu Rohingya.

“Malaysia adalah tanah tempat tumpah darah kita. Malaysia adalah rumah kita. Apa pun perbezaan dan ketidakpuasan hati, jangan sampai kita berhenti menzahirkan kasih kepada tanah air.

“Marilah kita mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan syukur, serta terus menjaga, menyayangi dan memelihara kedaulatan negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO