Ahmad Zahid Ziarah Mursyidul Am Pas

SANGGLANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil kesempatan menziarahi Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Hashim Jasin, di kediamannya di Sanglang, Perlis sempena kunjungan beliau ke Alor Setar, Kedah.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau berasa gembira melihat keadaan kesihatan Hashim yang semakin pulih.

Menurut beliau, pertemuan tersebut turut diisi dengan sesi bertanya khabar, berbual dan saling mendoakan antara satu sama lain.

“Pertemuan yang ringkas, tetapi cukup bermakna,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Ahmad Zahid berkata, beliau sentiasa menghormati Hashim sebagai seorang ilmuwan yang telah lama mendidik masyarakat serta memberikan panduan kepada ummah.

“Saya mendoakan semoga Allah SWT terus mengurniakan Tuan Guru kesihatan yang baik, memanjangkan usia beliau dalam keberkatan serta memberikan kekuatan untuk terus menyumbang kepada agama, ummah dan negara.”

Ahmad Zahid berada di Kedah bagi merasmikan Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB) 2035, hari ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO