Ahmad Zahid Zahir Takziah Atas Kemangkatan Kakanda Sultan Pahang

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan kakanda kepada Sultan Pahang Almarhumah Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Beliau turut merafak sembah takziah kepada keluarga diraja Pahang dan mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah, mengampuni segala dosa serta menempatkan Almarhumah dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

“Semoga Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang serta seluruh Kerabat Diraja dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Beliau turut berharap seluruh Kerabat Diraja Pahang diberikan kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi saat dukacita berikutan pemergian Almarhumah.

Tengku Datuk Seri Aishah mangkat di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 9.15 malam semalam dan jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Pahang, Pekan hari ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO