Mandat Besar Rakyat Johor Amanah Pacu Negeri Maju Menjelang 2030
JOHOR BAHRU, 27 Ogos – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukanlah noktah kepada perjuangan, sebaliknya menjadi permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk membawa Johor ke arah sebuah negeri yang maju menjelang 2030.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata mandat yang diberikan rakyat perlu diterjemahkan kepada komitmen untuk terus bekerja keras, memperkukuh kepimpinan serta memastikan kepentingan rakyat dan negeri sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau berkata, kemenangan 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperoleh BN merupakan hasil kerja keras, pengorbanan dan kesatuan seluruh saf kepimpinan serta jentera yang tidak pernah berhenti turun ke lapangan.

“Namun, apa yang telah kita capai bukanlah noktah kepada perjuangan. Sebaliknya, ia adalah permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar dalam menjadikan Johor sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas Majlis Perjumpaan Bersama ADUN BN dan kepimpinan masyarakat, semalam.
Menurut beliau, mandat besar berkenaan merupakan satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, di samping memastikan usaha pembangunan negeri terus memberi manfaat kepada rakyat.
Onn Hafiz turut menegaskan bahawa seluruh kepimpinan perlu terus bekerja keras dan mengetepikan perbezaan kecil demi memastikan kesatuan serta kekuatan yang telah dibina dapat dipertahankan.
“Kita mesti terus bekerja keras dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat serta negeri Johor mengatasi segala-galanya,” katanya.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh barisan ADUN, kepimpinan masyarakat serta jentera BN atas usaha dan pengorbanan yang membawa kepada kemenangan besar dalam PRN Johor kali ini.
Katanya, mandat rakyat perlu menjadi peringatan kepada semua pihak untuk bekerja dengan lebih ikhlas, bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam memenuhi harapan rakyat.
Beliau berharap kekuatan yang diberikan menerusi mandat tersebut dapat menjadi asas untuk meneruskan agenda pembangunan Johor, sekali gus membawa negeri itu ke arah masa depan yang lebih maju, makmur dan sejahtera menjelang 2030. – UMNO Online
