Malaysia Contoh Keharmonian Masyarakat Berbilang Kaum, Agama – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Pengalaman Malaysia dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama perlu terus diketengahkan sebagai contoh dalam usaha memperkukuh kefahaman terhadap Islam serta menangani persepsi yang salah terhadap agama itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman Malaysia membuktikan bahawa masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama mampu hidup dalam suasana harmoni sekiranya persefahaman, sikap saling menghormati dan keterbukaan terus dipupuk.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran dalam laman Facebooknya selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), Dr Farhan Nizami, CBE, bersama Kuwait Fellow OCIS, Datuk Dr Afifi Al-Akiti, FRSA, semalam.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, isu kefahaman terhadap Islam dan hubungan antara masyarakat kekal relevan untuk dibincangkan, khususnya dalam suasana dunia yang menyaksikan pelbagai persepsi terhadap umat Islam terus berkembang.
“Penting untuk kita menangani persepsi yang salah terhadap Islam yang boleh menyuburkan Islamofobia,” katanya.
Ujarnya, Malaysia mempunyai pengalaman tersendiri dalam mengurus kepelbagaian masyarakat dan pengalaman tersebut wajar dikongsi dalam usaha membina kefahaman yang lebih baik mengenai Islam, khususnya di Barat.
Beliau turut mengimbas kembali hubungannya dengan OCIS apabila pernah menyampaikan syarahan bertajuk De-Rooting Radicalism and Extremism di institusi berkenaan pada November 2016, ketika beliau menjalankan amanah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Ketika itu, antara yang saya tekankan ialah pengalaman Malaysia memelihara keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama serta pentingnya kita menangani persepsi yang salah terhadap Islam yang boleh menyuburkan Islamofobia.
“Hampir sedekad berlalu, isu mengenai kefahaman terhadap Islam, hubungan antara masyarakat serta kedudukan umat Islam di Barat terus relevan untuk dibincangkan.”
Ahmad Zahid berharap hubungan baik yang terjalin bersama OCIS dapat terus diperkukuh menerusi pertukaran ilmu, pemikiran dan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta masyarakat Islam secara keseluruhannya.
“Insya-Allah, saya berharap hubungan baik yang terjalin ini akan terus diperkukuh melalui pertukaran ilmu, pemikiran dan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta masyarakat Islam secara keseluruhannya,” katanya lagi. – UMNO Online
