Siasat TH Dari 2018 Hingga Kini – Mohd Razlan
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu perlu ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh kewangan selepas siasatan RCI terdahulu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata penubuhan RCI baharu penting bagi memastikan sebarang persoalan berhubung pengurusan aset dan kewangan TH dapat disiasat secara menyeluruh serta telus.
Menurut beliau, siasatan itu perlu memberi tumpuan kepada kemungkinan wujudnya elemen penyelewengan, termasuk urusan penjualan atau pemindahan aset TH kepada pihak berkepentingan.

“Saya bersetuju dan menggesa agar RCI baharu ditubuhkan bagi menyiasat Tabung Haji bagi tempoh kewangan selepas RCI terdahulu.
“Ini bertujuan mengenal pasti sama ada wujud elemen penyelewengan dan penjualan aset kepada pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap dakwaan atau persoalan berkaitan pengurusan TH disiasat dengan sewajarnya dan tindakan tegas perlu diambil sekiranya terdapat pihak yang didapati bertanggungjawab.
“Kita juga perlu tahu mengenai status aset TH yang dipindah milik, bagaimana aset berkenaan menjana keuntungan serta mengapa keuntungan atau aset tersebut tidak dipulangkan semula kepada TH,” katanya.
Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh menegaskan, penubuhan RCI bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan segala persoalan yang timbul dapat dijawab berdasarkan fakta dan hasil siasatan yang bebas.
Katanya, langkah berkenaan juga penting bagi memelihara kepentingan pendeposit serta memastikan tadbir urus dan pengurusan aset TH sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Kerajaan bertanggungjawab melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya lagi.
Terdahulu cadangan itu dikemukakan di forum “Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji” pada Musyawarah Nasional semalam yang bertujuan mengupas dan memperjelas aspek tadbir urus serta pengurusan TH, khususnya perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI mengenai institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020. – UMNO Online
