Wanita UMNO 77: Legasi Perjuangan Tidak Pernah Padam – Haslinda Salleh

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – 77 tahun bukan sekadar angka, ia adalah perjalanan panjang sebuah perjuangan yang dibina dengan kesetiaan, pengorbanan, keberanian dan air mata wanita-wanita hebat yang tidak pernah jemu berdiri di barisan hadapan demi agama, bangsa dan negara, kata Exco Wanita UMNO Malaysia, Haslinda Salleh.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Johor berkata sejak ditubuhkan pada 25 Ogos 1949, Wanita UMNO telah melalui pelbagai zaman dan cabaran.

“Usia 77 tahun Wanita UMNO bukan tanda semakin tua, tetapi bukti ianya semakin matang, semakin berpengalaman dan semakin kuat menghadapi cabaran. Pemimpin datang dan pergi, landskap politik berubah, namun semangat perjuangan Wanita UMNO tetap utuh.

“Kepada seluruh keluarga besar Wanita UMNO di seluruh negara, teruslah melangkah dengan satu hati dan satu tekad. Jangan pernah lelah berjuang. Jangan pernah hilang keberanian dan jangan sesekali melupakan akar perjuangan yang telah membesarkan kita.

“Dulu kita berjuang. Hari ini kita terus berjuang. Insya-Allah, esok perjuangan ini akan diteruskan oleh generasi Wanita UMNO yang lebih hebat.
Selamat Ulang Tahun Ke-77, Wanita UMNO Malaysia,” katanya.

Haslinda yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis menjelaskan Wanita UMNO bukan sekadar sayap parti tetapi adalah tulang belakang perjuangan, nadi kekuatan akar umbi dan benteng yang sentiasa setia mempertahankan UMNO ketika senang mahupun sukar.

“Di sebalik setiap kejayaan perjuangan, ada tangan-tangan wanita yang bekerja tanpa mengenal penat. Ada yang menyusun gerak kerja di bilik operasi, mengetuk pintu rumah rakyat, menjaga kebajikan masyarakat, mendekati anak muda dan menjadi penghubung antara parti dengan denyut nadi rakyat.

“Kita perlu memperkukuh suara wanita, melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis, mendekati generasi muda dan memastikan wanita terus diberikan ruang serta kepercayaan yang sewajarnya dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan,” katanya lagi.

Tambah beliau, perjuangan Wanita UMNO perlu terus diperkukuh dengan menghargai jasa pemimpin dan pejuang terdahulu yang telah meletakkan asas kukuh untuk diwarisi generasi hari ini.

“Marilah kita mengenang dan menghargai jasa seluruh pemimpin serta pejuang Wanita UMNO terdahulu yang telah meletakkan asas kukuh untuk kita warisi hari ini. Namun perjuangan belum selesai.

“Wanita UMNO mesti terus berani berubah mengikut zaman tanpa kehilangan prinsip perjuangan. Kita perlu sentiasa dekat dengan rakyat, memahami denyut nadi akar umbi dan tampil sebagai suara yang membawa penyelesaian kepada setiap permasalahan masyarakat,” jelasnya.

Ujarnya, jangan sesekali kita melupakan sejarah dan pengorbanan generasi terdahulu, tetapi pada masa sama perlu berani melangkah ke hadapan dengan pendekatan yang lebih segar, kreatif dan sesuai dengan cabaran semasa. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO