Selamat Ulang Tahun Ke-77 Pemuda UMNO, Terus Perkukuh Perjuangan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Selamat Ulang Tahun ke-77 kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, sambil menyeru golongan muda dalam parti itu terus memperkukuh perjuangan agar kekal relevan dengan tuntutan zaman.

Beliau berkata, pengalaman bersama Pemuda UMNO sejak di peringkat akar umbi banyak membentuk pemahaman beliau terhadap erti perjuangan, denyut nadi anggota parti serta tanggungjawab yang perlu dipikul ketika parti memerlukan tenaga, fikiran dan keberanian generasi muda.

“Daripada kilang Pemuda UMNO inilah saya belajar erti perjuangan, mengenal denyut nadi akar umbi dan memahami bahawa menjadi Pemuda bukan sekadar berada di barisan hadapan, tetapi bersedia memikul amanah ketika parti memerlukan tenaga, fikiran dan keberanian.”

Menurut Ahmad Zahid, perubahan zaman turut mengubah bentuk cabaran yang dihadapi Pemuda UMNO, khususnya dalam mendepani perkembangan teknologi, perubahan cara berfikir serta suara generasi muda yang semakin pelbagai.

Katanya, keberanian semata-mata tidak lagi memadai, sebaliknya perlu dipandu kebijaksanaan, ilmu, idea dan tindakan yang selari dengan perkembangan semasa.

“Sebab itu keberanian sahaja tidak memadai. Ia mesti dipandu kebijaksanaan, disertai ilmu dan diterjemahkan melalui idea serta tindakan yang sesuai dengan peredaran zaman,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, tugas besar Pemuda UMNO hari ini adalah memastikan parti itu terus mempunyai tempat dalam hati generasi baharu dengan membuka ruang lebih luas kepada golongan muda untuk menyumbang pandangan, bakat dan idea.

Beliau berkata, UMNO perlu membina keyakinan bahawa golongan muda bukan sekadar pelengkap dalam parti, sebaliknya merupakan pewaris kepada kesinambungan perjuangan.

“Kita mesti berani membuka pintu Rumah Bangsa ini lebih luas, mendengar pandangan mereka, memberi ruang kepada bakat baharu dan membina keyakinan bahawa dalam UMNO, anak muda bukan sekadar pelengkap, tetapi pewaris perjuangan.”

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh, barisan kepimpinan serta seluruh keluarga besar Pemuda UMNO di setiap peringkat yang terus menggerakkan perjuangan parti.

Beliau menyeru Pemuda UMNO supaya terus mendekati anak muda dengan pendekatan dan bahasa yang dekat dengan mereka, selain memahami keresahan serta membawa aspirasi generasi berkenaan ke dalam perjuangan parti.

Menurutnya, ulang tahun ke-77 Pemuda UMNO bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan himpunan pengalaman, jatuh bangun dan pengajaran yang menjadi bekalan untuk melangkah lebih jauh.

“77 tahun bukan sekadar angka. Ia adalah himpunan pengalaman, jatuh bangun dan pengajaran yang menjadi bekal untuk melangkah lebih jauh.”

Ahmad Zahid berharap Pemuda UMNO terus menjadi wadah yang melahirkan generasi pemimpin dengan keberanian yang berteraskan kebijaksanaan, idealisme yang berpijak pada realiti serta kesediaan memikul amanah masa hadapan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO