Kenapa Tidak Boleh? Rakyat Berhak Tahu Status Aset TH Kepada UJSB
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, mempersoalkan mengapa rakyat tidak boleh diberikan penjelasan secara menyeluruh berhubung status pemindahan aset Lembaga Tabung Haji (TH) kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0.
Beliau menegaskan bahawa rakyat juga mempunyai hak untuk mengetahui kedudukan sebenar aset TH yang dipindahkan kepada UJSB, termasuk jumlah tunai yang telah diterima oleh TH sehingga hari ini.
“Kenapa tidak boleh pula?
“Rakyat juga nak tahu apakah status pemindahan aset Tabung Haji kepada UJSB semasa pemerintahan PH 1.0 dahulu,” katanya menerusi kenyataan di media sosial berikutan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) yang mempersoalkan kewajaran cadangan agar diwujudkan siasatan terhadap pengurusan TH bagi tempoh selepas 2017 hingga kini

Sehubungan itu, Dr Akmal mempersoalkan berapa jumlah tunai yang sebenarnya telah diterima oleh TH daripada transaksi tersebut sehingga kini.
Menurutnya, aset TH yang dipindahkan kepada UJSB ketika itu dilaporkan bernilai kira-kira RM9 bilion, manakala UJSB dikatakan membeli aset berkenaan melalui penerbitan sukuk bernilai sekitar RM19 bilion.
“Dan berapa jumlah tunai yang telah Tabung Haji terima sehingga hari ini? Adakah hanya kertas hutang yang dipanjangkan tempohnya sahaja?” soalnya.
Beliau berkata, persoalan berkenaan wajar dijawab secara terbuka kerana ia bukan sekadar isu politik, sebaliknya menyentuh kepentingan rakyat dan pendeposit TH.
Malah, Dr Akmal turut merujuk kepada pendirian Ahli Parlimen Pasir Gudang yang disifatkannya sebagai ahli Parlimen daripada pihak kerajaan sendiri, yang sebelum ini turut menuntut penjelasan mengenai perkara berkenaan.
“Seperti mana Ahli Parlimen Pasir Gudang iaitu ahli Parlimen kamu sendiri yang tuntut penjelasan mengenainya, maka rakyat juga perlu tahu,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Akmal menegaskan bahawa sekiranya kerajaan atau mana-mana pihak mahu mendedahkan isu berkenaan kepada rakyat, penjelasan perlu dibuat secara keseluruhan dan tidak memilih fakta tertentu sahaja.
“Kalau nak dedah, kita dedah sepenuhnya, bukan separuh-separuh sahaja,” tegasnya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan cadangan supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menubuhkan badan khas bagi menjalankan siasatan terhadap pengurusan TH bagi tempoh selepas 2017 hingga kini.
Ini kerana katanya, siasatan itu penting bagi memperjelas perkara yang berlaku selepas 2017 berdasarkan fakta dan realiti, sekali gus dapat membantu membetulkan persepsi masyarakat berhubung isu pengurusan serta tadbir urus TH.- UMNO Online
