77 Tahun Pemuda UMNO: Terus Berdiri Memikul, Mempertahan Perjuangan
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Perjuangan Pemuda tidak pernah dijanjikan mudah, namun segala cabaran yang dilalui menjadi proses membentuk keberanian, prinsip dan kesetiaan generasi muda dalam meneruskan perjuangan parti.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, suara yang disalahertikan, langkah yang dipersoalkan serta kesetiaan yang diuji merupakan sebahagian daripada rencam perjalanan perjuangan yang perlu dihadapi dengan keteguhan prinsip.

Menurut beliau, kekuatan sesebuah bangsa dapat dilihat melalui anak mudanya, khususnya apabila mereka berani mempertahankan prinsip dan terus melangkah meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Pemuda tidak dibesarkan oleh kesenangan. Pemuda dibentuk oleh keberanian untuk terus berdiri ketika yang lain memilih berdiam, dan hidup atas kesetiaan untuk terus bertahan ketika perjuangan tidak lagi menjanjikan pujian,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena ulang tahun ke-77 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Dr Akmal berkata, sepanjang 77 tahun penubuhannya, Pemuda UMNO bukan sekadar berperanan sebagai penyambung usia parti, sebaliknya menjadi penyambung kepada perjuangan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
“Selama 77 tahun, Pemuda UMNO tidak sekadar menjadi penyambung usia parti. Kita ialah penyambung nyawa sebuah perjuangan.
“Jangan kita hanya mewarisi nama perjuangan ini. Warisilah juga keberanian untuk memikul dan mempertahankannya,” katanya.
Beliau turut mengakui perjalanan perjuangan yang dilalui Pemuda UMNO mungkin tidak pernah mudah, namun generasi muda parti tidak seharusnya dibentuk oleh keadaan untuk berputus asa.
“Perjalanan ini mungkin tidak pernah mudah tetapi kita juga tidak pernah dibentuk untuk menyerah,” katanya sambil menyampaikan ucapan selamat ulang tahun ke-77 kepada seluruh warga Pemuda UMNO Malaysia. – UMNO Online
