Jangan Bersandar Persepsi, Buktikan Kelemahan TH Dengan Fakta

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan setiap tanggungan Tabung Haji (TH) dapat dipenuhi, selain kepentingan serta hak pendeposit terus terpelihara.

Katanya, kedudukan aset TH dan sumber yang akan digunakan bagi memenuhi setiap tanggungan juga perlu dijelaskan secara terbuka bagi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai kemampuan institusi itu.

“Apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan setiap tanggungan dapat dipenuhi dan kepentingan pendeposit tidak terjejas, selain menjelaskan secara terbuka kedudukan aset serta sumber pembayaran.

“Jika benar terdapat kelemahan atau salah urus dalam mana-mana keputusan berkaitan TH, perkara itu perlu dibuktikan melalui fakta dan dokumen, bukannya hanya berdasarkan persepsi.

“Isu berkenaan tidak wajar dilihat hanya dari sudut politik, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan fakta, dokumen dan kemampuan struktur berkenaan memenuhi kewajipan kepada TH,” katanya ketika program Musyawarah Nasional ‘Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji di Primera Hotel, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi;  Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta peserta-peserta forum.

Mengulas lanjut, Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO menjelaskan  pemindahan aset TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), yang sering digambarkan sebagai langkah menyelamatkan institusi berkenaan.

“Kerajaan perlu menjelaskan bagaimana UJSB mampu memenuhi kewajipan kewangannya kepada TH dan memastikan kepentingan pendeposit terjamin. Kalau dikatakan menyelamat, apa menyelamatnya.

“Pemindahan aset kepada UJSB bukan sekadar pertukaran aset, sebaliknya membabitkan penjualan aset dan pembayaran kepada TH dalam bentuk tunai serta instrumen kewangan,” katanya lagi.

Tambah beliau, persoalan utama bukan sekadar mengenai aset yang dipindahkan, tetapi bagaimana dan dari mana sumber pembayaran kepada TH akan diperoleh.

Seterusnya kata Dr Asyraf persoalan utama yang perlu dijawab kerajaan ialah apakah jaminan bahawa wang pendeposit bernilai lebih RM21 bilion yang perlu dibayar menjelang 2029 dan 2036 benar-benar mampu dipulangkan kepada para pendeposit.

“Apakah jaminan bahawa wang pendeposit yang bernilai lebih daripada RM21 bilion yang perlu dibayar menjelang 2029 dan 2036 akan dibayar balik kepada para pendeposit.

“Jika struktur berkenaan benar-benar bertujuan menyelamatkan TH, kerajaan perlu memberi jaminan bahawa semua kewajipan kewangan itu mampu dipenuhi apabila tiba tempohnya,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO