Wanita UMNO Terus Jadi Kekuatan Utama Parti – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 25 Ogos –Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan kepada seluruh keluarga besar Wanita UMNO Malaysia sempena sambutan ulang tahun ke-77 pergerakan itu, sambil menegaskan peranan wanita kekal penting dalam memperkukuh perjuangan parti.
Beliau berkata, 77 tahun bukan satu perjalanan singkat, malah sepanjang UMNO merentasi pelbagai zaman, melalui kemenangan dan berdepan pelbagai ujian, Wanita UMNO sentiasa menjadi antara kekuatan penting yang menggerakkan parti.

“Dari satu generasi ke satu generasi, semangat perjuangan itu terus diwariskan. Ia hidup di setiap negeri, bahagian dan cawangan, dan paling penting, berakar kukuh di tengah masyarakat.
“Wanita UMNO bukan sekadar tulang belakang parti, tetapi antara wajah UMNO yang paling dekat dengan rakyat,” katanya.
Ahmad Zahid turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesetiaan, masa dan pengorbanan yang terus dicurahkan oleh anggota Wanita UMNO kepada parti.
Menurut beliau, Wanita UMNO sentiasa bersama parti ketika berada di puncak kejayaan, malah tetap teguh berdiri dan berjuang ketika UMNO berdepan pelbagai cabaran.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata medan perjuangan hari ini telah berubah dan peranan Wanita UMNO juga perlu terus berkembang sesuai dengan tuntutan semasa.
Katanya, Wanita UMNO bukan sahaja perlu mempertahankan kekuatan akar umbi, tetapi perlu lebih berani membawa suara wanita dan keluarga, memahami keresahan rakyat serta mendekati generasi baharu.
“Wanita UMNO juga mesti menjadi jambatan yang membina semula serta memperkukuh keyakinan rakyat kepada UMNO,” katanya.
Sempena ulang tahun ke-77 itu, Ahmad Zahid juga berharap Wanita UMNO akan terus menjadi kekuatan yang menyatukan, tangan yang menyantuni dan nadi yang menghidupkan perjuangan parti.
“Insya-Allah, dengan kesetiaan, keberanian dan kekuatan Wanita UMNO, kita akan terus melangkah bersama membawa UMNO ke hadapan,” katanya. – UMNO Online
