RCI TH: UJSB Ibarat Tikus Membaiki Labu
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, mendakwa penubuhan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang diwujudkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0 ibarat “tikus membaiki labu” kerana didakwa gagal menyelesaikan masalah kewangan Lembaga Tabung Haji (TH), malah menambah beban kewangan kepada kerajaan.
Beliau berkata, dakwaan itu dibuat berdasarkan pembentangan dan pendedahan berfakta oleh dua tokoh yang pernah terlibat dalam pengurusan kerajaan, iaitu bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Siregar Abdullah, dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, berhubung isu berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Menurutnya, perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan terhadap naratif yang selama ini dikaitkan dengan pengurusan TH sebelum ini, khususnya apabila implikasi kewangan UJSB turut dipersoalkan.
“Seperti yang saya dedah dan maklumkan sejak dari awal, selepas mengikuti pembentangan dan pendedahan berfakta oleh dua tokoh berkenaan, apa yang boleh saya rumuskan ialah UJSB ibarat ‘tikus membaiki labu’ dan masalah serta punca sebenar perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Gulam mendakwa UJSB yang diwujudkan pada era PH 1.0 turut menghasilkan tambahan komitmen kewangan yang besar, termasuk melalui penerbitan sukuk.
Beliau mendakwa jumlah hutang, obligasi, liabiliti dan komitmen terkumpul UJSB mencecah RM25.85 bilion, berbanding aset terkumpul RM11.44 bilion.
“Jika dicairkan sekarang, berdasarkan angka tersebut, UJSB masih menanggung defisit RM14.41 bilion.
“Pada 2017, TH didakwa mempunyai defisit RM4.1 bilion, manakala pada 2025 UJSB mencatat defisit RM14.41 bilion. Dalam erti kata lain, beban hutang meningkat kira-kira RM10 bilion dalam tempoh tujuh tahun,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan pihak yang seharusnya bertanggungjawab terhadap keadaan tersebut serta mendakwa objektif dan misi UJSB telah gagal dicapai.
Dalam pada itu, Gulam turut menyifatkan RCI TH sebagai “elephant in the room”, dengan mendakwa terdapat isu besar yang menurutnya sengaja tidak diberikan perhatian secukupnya.
Beliau turut mengaitkan keadaan itu dengan apa yang disifatkannya sebagai amalan “crony capitalism”, “vulture
capitalism” dan “predatory capitalism” yang didakwa boleh menjejaskan ekosistem perniagaan TH.
“Yang nampak hanya bilik kosong, kehadiran gajah sengaja diabaikan seperti ia tidak wujud. Itu yang sedang berlaku,” katanya.
Gulam menegaskan bahawa perbahasan mengenai RCI TH perlu dilihat berdasarkan fakta, angka dan kesan kewangan jangka panjang, bukan semata-mata melalui tuduhan politik terhadap mana-mana pihak. – UMNO Online
