Tabung Haji: PAC Wajar Tubuh Badan Khas – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilihat lebih sesuai menubuhkan badan khas bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung isu tadbir urus dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, langkah itu penting bagi memperjelaskan kedudukan sebenar isu berkenaan berdasarkan fakta serta dapatan rasmi, sekali gus membetulkan persepsi yang timbul dalam kalangan masyarakat.

Ahmad Zahid yang juga Pesiden UMNO berkata demikian dalam ucapan Musyawarah Nasional 2.0 yang terdahulu mengadakan forum bertajuk ‘Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’ di sini, hari ini.

Menurutnya, forum berkenaan menjadi wadah intelektual bukan sahaja untuk mengupas, malah memperjelaskan beberapa aspek berkaitan tatakelola pengurusan TH, khususnya susulan penemuan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Dalam laporan RCI telah diperlihatkan bahawa perkara-perkara yang melibatkan keputusan pihak pengurusan, sebagaimana yang dijelaskan dalam laporan itu, tidak ada penudingan jari kepada mana-mana individu.

“Justeru, dalam pertemuan secara tidak formal bersama ahli-ahli Parlimen yang hadir, ada cadangan supaya PAC dapat menubuhkan satu badan khas di bawah PAC bagi menjalankan penyiasatan berdasarkan dapatan kajian sehingga 2017,” katanya kepada media hari ini.

Ahmad Zahid berkata, cadangan berkenaan wajar diberi keutamaan supaya perbahasan mengenai TH tidak menjurus kepada tuduhan atau spekulasi, sebaliknya berlandaskan fakta serta rekod pengauditan yang sah.

“Sijil Bersih yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara (JAN) perlu dilihat dalam konteks peruntukan undang-undang dan tatakelola yang berkuat kuasa ketika itu.

“Ini adalah satu saranan yang harus diikuti agar tidak ada tuduhan penyakauan. Sebaliknya, sijil yang dikeluarkan oleh JAN jelas memperlihatkan bahawa sijil bersih telah dikeluarkan.

“Pengauditan yang dilakukan terhadap Tabung Haji adalah berdasarkan aktanya, dan Akta Tabung Haji menyebutkan bahawa pihak yang harus menjalankan pengauditan ialah Jabatan Audit Negara,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh oleh PAC bagi memastikan kedudukan sebenar isu berkenaan dapat dijelaskan kepada masyarakat berdasarkan realiti, bukan persepsi.

“Inilah yang harus dilihat oleh PAC agar duduk perkara ini dapat membetulkan persepsi dan berdasarkan kepada realiti yang mahu diketahui oleh khalayak umum.

“Apa yang disarankan secara tidak formal tadi oleh ahli-ahli Parlimen harus diberikan keutamaan, terutamanya PAC menubuhkan badan penyiasat di bawah tanggungjawab PAC sendiri.

“Ini lebih afdal berbanding dengan pendekatan lain. Saya fikir PAC lebih sesuai untuk melakukan penyiasatan kerana mereka mempunyai standard yang tercatat dalam tugas dan tanggungjawab PAC itu sendiri,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO