Bulan Kemerdekaan: Terapkan Prinsip Rukun Negara Dalam Diri Anak Bangsa

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara perlu terus diperkukuh dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda, bagi memastikan semangat kemerdekaan tidak sekadar diraikan setiap tahun, sebaliknya diterjemahkan melalui pembentukan jati diri, perpaduan dan kecintaan kepada negara.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata Rukun Negara merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang mempunyai pegangan kukuh terhadap nilai kebangsaan serta mampu mempertahankan keharmonian negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sembang Santai 2026 yang membawa tema “Bedah Kembali Gerakan Rukun Negara & Gerakan Revolusi Mental Bagi Kentalkan Semula Jatidiri Anak Bangsa.”

Menurut beliau, kelima-lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan, tidak seharusnya hanya dihafal, tetapi perlu difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Sempena kita menyambut kemerdekaan, marilah kita kembali menghayati Rukun Negara sebagai panduan membina bangsa. Kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi juga kebebasan untuk membina masyarakat yang bersatu, berdisiplin dan mempunyai nilai moral yang tinggi.

“Jika prinsip Rukun Negara benar-benar dihayati, ia mampu menjadi benteng kepada generasi muda dalam berdepan cabaran semasa termasuk pengaruh negatif, perpecahan dan kemerosotan nilai dalam masyarakat,” katanya.

Abdul Aziz turut menekankan keperluan menghidupkan kembali semangat Revolusi Mental bagi membentuk pemikiran anak bangsa yang lebih positif, matang dan bertanggungjawab terhadap masa depan negara.

Katanya, pembangunan negara tidak boleh hanya diukur melalui kemajuan ekonomi dan teknologi, sebaliknya perlu disertai pembangunan insan yang mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Jati diri anak bangsa perlu dikentalkan dengan nilai patriotisme, ilmu, disiplin dan rasa tanggungjawab. Kita mahu generasi yang bukan sahaja bijak dan berkemahiran, tetapi memahami sejarah perjuangan kemerdekaan serta menghargai keamanan dan kestabilan yang dinikmati hari ini.

“Rukun Negara mesti kembali menjadi roh dalam kehidupan masyarakat. Hayati prinsipnya, amalkan nilainya dan jadikan ia panduan dalam membina masa depan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan merupakan ruang terbaik untuk rakyat melakukan muhasabah terhadap makna sebenar kemerdekaan serta memperbaharui tekad untuk mempertahankan perpaduan dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak, khususnya ibu bapa, pendidik, pemimpin masyarakat dan generasi muda, supaya memainkan peranan masing-masing dalam memastikan Rukun Negara terus subur sebagai nilai bersama rakyat Malaysia.

“Jangan kita jadikan Rukun Negara sekadar lima baris ikrar. Jadikan ia amalan, jadikan ia budaya dan jadikan ia pegangan hidup. Itulah antara cara terbaik kita mengisi kemerdekaan dan memastikan Malaysia terus kukuh untuk generasi akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO