PRN Selesai, Amanah Diteruskan… Mohd Zaidy Komited Bersama Rakyat
JEMPOL, 24 Ogos – Pilihan raya telah selesai, namun amanah kepada rakyat tidak pernah berhenti. Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, amanah kekal sebagai ADUN bukan sekadar soal keputusan di atas kertas, sebaliknya menjadi titik mula kembali bekerja dan meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat.
Menzahirkan komitmen itu, Mohd Zaidy kembali turun padang bertemu warga FELDA Bukit Rokan Barat dalam suasana kekeluargaan, termasuk menunaikan solat Asar berjemaah bersama penduduk di samping meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk, bertanya khabar serta mengimbau kembali pelbagai kenangan sepanjang kempen pilihan raya yang lalu.

Hal ini disusuli dengan kehadiran ke Majlis Perasmian Program Weight Loss Challenge dan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan FELDA Bukit Rokan Barat 2026 yang berlangsung di Wisma Belia, FELDA Bukit Rokan Barat.
Ujarnya, program berkenaan bukan sekadar menjadi medan menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan, malah menghimpunkan masyarakat dalam aktiviti yang memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan seharian.
“Sambutan Bulan Kemerdekaan menjadi ruang terbaik untuk menyemai semangat patriotisme, khususnya dalam kalangan generasi muda, agar penghayatan terhadap erti kemerdekaan tidak hanya diraikan menerusi kibaran Jalur Gemilang, tetapi diterjemahkan melalui semangat kebersamaan dan kecintaan kepada negara.
“Kita mahu masyarakat yang sihat, mempunyai ilmu dan bijak mengurus kehidupan. Dalam masa yang sama, semangat kemerdekaan mesti terus hidup dan subur dalam jiwa masyarakat,” katanya.
Turut diadakan ialah program “Jom Fungsikan Emas” yang disampaikan oleh wakil Syarikat Emas Sri Semantan, selain pemeriksaan kesihatan percuma untuk warga setempat.
Mohd Zaidy berkata, pendekatan sebegini wajar diteruskan kerana pembangunan masyarakat bukan hanya bergantung kepada aspek fizikal, tetapi turut melibatkan kesihatan, ilmu, kesejahteraan keluarga dan keupayaan mengurus kehidupan dengan lebih baik.

Menurutnya, program Weight Loss Challenge secara tidak langsung menggalakkan masyarakat mengambil berat mengenai kesihatan dan mengamalkan gaya hidup lebih aktif, manakala pengisian berkaitan emas pula membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami aspek pengurusan kewangan dan aset.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, sukarelawan, pemimpin masyarakat serta seluruh warga FELDA Bukit Rokan Barat yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
Katanya, hubungan rapat antara pemimpin dan masyarakat perlu terus diperkukuhkan kerana suara rakyat, denyut nadi komuniti serta keperluan setempat hanya dapat difahami dengan lebih baik apabila pemimpin sentiasa berada bersama mereka.
“Sekarang masa bekerja, turun padang bukan hanya dilakukan ketika musim pilihan raya, tetapi merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara berterusan. Pilihan raya telah berlalu. Amanah diteruskan dan rakyat akan sentiasa disantuni, insyaAllah,” katanya lagi. – UMNO Online
