Generasi Alpha Perlu Dipersiap Dengan Ilmu Teknologi – Johari

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abd Ghani berpandangan generasi Alpha perlu dipersiapkan dengan ilmu dan kemahiran yang berkualiti bagi menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ini kerana perkembangan dunia digital yang pantas dan penuh perubahan menuntut generasi berkenaan dilengkapi kemahiran serta nilai yang kukuh.

“Generasi Alpha membesar dalam dunia digital yang bergerak pantas dan penuh perubahan. Kita mahu mereka bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mampu menjadi pencipta, pemikir dan inovator pada masa hadapan, tanpa mengabaikan nilai agama, adab, disiplin dan jati diri.

“Akhirnya, kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja pintar dan berkemahiran, tetapi juga berakhlak, kreatif, berdaya saing dan mempunyai nilai kemanusiaan.

“Dengan pendidikan yang baik, bimbingan guru dan sokongan ibu bapa, Insya-Allah mereka akan menjadi aset serta kekuatan Malaysia pada masa hadapan,” katanya,

Johari berkata demikian menerusi perkongsian di Facebook selepas merasmikan Pembukaan Program Alpha Gen Talents @ KEMAS 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di Pusat Arena Sukan Kuala Lumpur pada semalam.

Katanya lagi, pembangunan bakat sejak usia muda perlu diberikan perhatian kerana setiap kanak-kanak mempunyai potensi dan kelebihan tersendiri yang boleh dikembangkan melalui pendidikan, bimbingan serta pendedahan yang bersesuaian.

“Program ini penting dalam usaha mencungkil dan membangunkan bakat anak-anak sejak usia awal, sama ada dalam bidang sukan, seni, komunikasi, digital, hafazan mahupun bidang-bidang lain,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO