Puteri UMNO Siap Siaga PAU 2026, Fokus 25 Tahun Penubuhan
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia kini memberi tumpuan utama kepada persiapan menghadapi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada September depan.
Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, Perhimpunan Agung UMNO kali ini amat penting bagi Puteri, khususnya dalam memperingati 25 tahun penubuhan pergerakan tersebut serta memperkukuh agenda kepimpinan.

“Fokus Puteri untuk Perhimpunan Agung UMNO ialah sempena 25 tahun dan juga fokus kepada kepimpinan yang bermula dengan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Puteri UMNO yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, hari ini.
Menurut beliau, segala perancangan dan persiapan kini ditumpukan kepada memastikan penyertaan Puteri UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO berlangsung dengan baik serta membawa suara dan aspirasi generasi muda.
Dalam pada itu, Nurul Amal berkata isu berkaitan calon Puteri bagi PRN Melaka turut dibincangkan, namun perkara tersebut diserahkan kepada keputusan parti.
“Untuk calon bagi PRN Melaka kita serahkan kepada parti, tetapi jangan ketinggalan untuk ada calon Puteri. Perbincangan ada, tetapi sekarang kita fokus kepada Perhimpunan Agung UMNO pada September nanti,” katanya.
Beliau menegaskan, aspek kepimpinan dan tanggungjawab akan terus menjadi antara fokus utama Puteri dalam memperkukuh peranan pergerakan itu sebagai wadah pembangunan kepimpinan wanita muda dalam UMNO. – UMNO Online
