Dewan Belia Perak Tunjang Suara Generasi Muda
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan Dewan Belia Perak sebagai platform penting memastikan suara anak muda didengari oleh Kerajaan Negeri.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri sehubungan itu berkata, seramai 63 Perwakilan Dewan Belia Perak kini memainkan peranan membawa suara generasi muda ke dalam persidangan Dewan Negeri di Kompleks Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak.
“Hari ini kita bersama 63 orang Perwakilan Dewan Belia Perak di Dewan Negeri, SUK. Merekalah yang akan membawa suara anak-anak muda Perak ke dalam Dewan Negeri.
“Mereka jugalah yang akan menjadi pelapis pimpinan negeri ini di masa hadapan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Saarani, pada tahun lalu sebanyak 11 usul telah dibawa oleh Perwakilan Dewan Belia Perak meliputi pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi, sosial, pelancongan, teknologi, kelestarian alam sekitar, perumahan dan perkahwinan belia.
Katanya, beberapa usul mendapat perhatian beliau dan telah diminta untuk diteliti oleh pegawai Kerajaan Negeri bagi pertimbangan selanjutnya.
“Maknanya, suara anak muda yang dibawa ke platform ini didengari oleh kerajaan negeri. Jadi kepada semua Perwakilan Dewan Belia Perak, manfaatkanlah persidangan ini dengan sebaiknya.
“Perak perlukan generasi muda yang bukan sahaja punya cita-cita untuk dirinya, tetapi turut punya keinginan untuk melihat negerinya jadi lebih baik.
“Semoga Dewan Belia Perak terus menjadi wadah yang melahirkan idea, membina kepimpinan serta mencetuskan perubahan yang memberi manfaat kepada anak-anak muda dan masa depan negeri ini,” ujar beliau. – UMNO Online
