Onn Hafiz Syukur JDT Cipta Rekod Dunia Baharu
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan kesyukuran atas kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang melakar sejarah baharu apabila mencipta rekod dunia 109 perlawanan liga berturut-turut tanpa kalah.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata kejayaan tersebut diperoleh apabila menewaskan Kuching City FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
“Syukur Alhamdulillah, JDT melakar satu lagi sejarah gemilang apabila menewaskan Kuching City FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus mencipta rekod dunia baharu 109 perlawanan liga berturut-turut tanpa kalah di laman sendiri!
“Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas kepimpinan, visi dan komitmen luar biasa dalam membangunkan JDT sehingga menjadi sebuah kelab yang disegani serta terus mencipta pencapaian bertaraf dunia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut kata beliau kejayaan ini menyaksikan Harimau Selatan mengatasi rekod 108 perlawanan liga tanpa kalah di laman sendiri yang sebelum ini dipegang ASEC Mimosas dari Ivory Coast sejak 1994.
Katanya selepas lebih tiga dekad, rekod tersebut kini menjadi milik JDT, satu pencapaian yang cukup membanggakan buat Johor dan Malaysia.
“Pencapaian ini lahir daripada perancangan yang tersusun, disiplin, mentaliti juara serta standard tinggi yang terus diterapkan dalam setiap aspek pembangunan kelab JDT.
“Tahniah dan syabas kepada para pemain, barisan jurulatih, pengurusan kelab serta seluruh penyokong setia Harimau Selatan yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada JDT dalam setiap perjalanan.
“Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk JDT terus mencipta sejarah, mengangkat nama Johor dan mengharumkan Malaysia di pentas Asia serta antarabangsa. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online
