Malaysia-Thailand Perkukuh Kerjasama
PUTRAJAYA, 21 Ogos – Malaysia dan Thailand terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi penerokaan peluang kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal, pelancongan serta perdagangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Gabenor Wilayah Trang, Thailand, Pol. Capt. Anan Boon-Samran bersama delegasi di pejabatnya di Putrajaya, pagi tadi.
Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, pertemuan berkenaan menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan bagi memperkukuh hubungan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Thailand, selain meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat bersama.

Katanya, TVET antara bidang yang mempunyai potensi besar untuk diperkukuh bagi memperkasa pembangunan kemahiran dan modal insan kedua-dua negara.
“Antara yang kami bincangkan ialah potensi untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang TVET sebagai antara ruang yang boleh terus diteroka dalam usaha memperkasa pembangunan kemahiran dan modal insan kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata aspek industri halal turut menjadi agenda perbincangan memandangkan Pol. Capt. Anan turut bertanggungjawab terhadap hal ehwal halal di Trang.
Beliau turut mengambil kesempatan menjemput penyertaan Thailand, khususnya pemain industri dari Trang, ke Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026.

Selain itu, katanya, sektor pelancongan dan perdagangan juga mempunyai potensi besar untuk terus dirancakkan, khususnya berdasarkan hubungan rapat serta pergerakan rakyat antara Malaysia dan Thailand.
Ahmad Zahid berharap pertemuan tersebut menjadi pemangkin kepada lebih banyak bentuk kerjasama praktikal antara kedua-dua negara.
“Hubungan Malaysia-Thailand bukan sekadar hubungan antara dua negara berjiran, tetapi hubungan yang perlu terus diterjemahkan kepada lebih banyak peluang dan kemakmuran untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya lagi. – UMNO Online
