Nilai Semula, Petugas PDK Tulang Belakang Anak Istimewa – Khairul Azwan
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang menjadi antara tulang belakang dalam mengurus, mendidik dan membimbing anak-anak istimewa perlu diberikan penghargaan sewajarnya, termasuk melalui peningkatan kadar elaun yang diterima mereka.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, kadar elaun semasa yang diterima petugas dan penyelia PDK perlu dinilai sebaiknya berbanding tanggungjawab besar yang dipikul setiap hari.
Beliau berkata, perkara itu dilihat sendiri ketika mengadakan lawatan ke PDK Cahaya Qaseh Kampong Gajah semalam bagi meninjau aktiviti, kemudahan serta keperluan anak-anak istimewa yang menerima khidmat dan bimbingan di pusat berkenaan.
“Saya dapati elaun penyelia dan petugas di PDK yang dibayar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sangat rendah dan berada di bawah gaji minimum.
“Elaun petugas hanya RM1,200 sebulan manakala penyelia RM1,500 sebulan. Sedangkan mereka memainkan peranan yang sangat besar dalam mengurus, mendidik dan menjaga anak-anak istimewa,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut Khairul Azwan, tugas sebagai petugas PDK bukan sekadar melaksanakan aktiviti pemulihan, sebaliknya memerlukan kesabaran, komitmen dan kasih sayang yang tinggi dalam membantu anak-anak istimewa membina keyakinan serta mengembangkan potensi diri.
Justeru, beliau merayu kerajaan khususnya JKM supaya menilai semula kadar elaun berkenaan dan mempertimbangkan kenaikan yang lebih sewajarnya.
“Kita perlu melihat sumbangan mereka dengan lebih serius. Mereka berdepan dengan tanggungjawab yang besar setiap hari dan peranan mereka sangat penting kepada anak-anak istimewa serta keluarga.
“Saya merayu kepada kerajaan terutama JKM supaya menaikkan elaun petugas dan penyelia PDK sebagai satu bentuk penghargaan terhadap khidmat dan pengorbanan mereka,” katanya.
Dalam lawatan sama, Khairul Azwan turut berkesempatan bertemu para petugas serta berbual bersama ibu bapa dan penjaga bagi mendengar sendiri pandangan, keperluan serta cabaran yang dihadapi.
Beliau turut memohon peruntukan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi menaik taraf kemudahan PDK Cahaya Qaseh Kampong Gajah yang didapati memerlukan perhatian.
Antara perkara yang dibangkitkan termasuk kerja mengecat semula bangunan PDK yang sudah uzur serta menaik taraf sistem perparitan bagi mengatasi masalah longkang tersumbat ketika hujan lebat.
“Saya juga memohon peruntukan daripada pihak ICU untuk menaik taraf dan mengecat semula PDK Kampong Gajah yang sudah uzur, selain menaik taraf sistem perparitan kerana longkang sering tersumbat ketika hujan lebat.
“Keadaan persekitaran yang lebih baik dan selesa amat penting supaya anak-anak istimewa dapat mengikuti aktiviti dalam suasana yang kondusif,” katanya.
Khairul Azwan berkata, usaha memperkasa PDK perlu dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama dalam memastikan golongan istimewa terus mendapat sokongan serta peluang untuk berkembang mengikut kemampuan masing-masing.
Beliau berharap kebajikan petugas PDK dan keperluan pusat berkenaan dapat diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkaitan demi memastikan perkhidmatan kepada anak-anak istimewa dapat terus diperkukuh. – UMNO Online
