Dinamika Baharu: Prestasi, Penyatuan dan Sentimen Bentuk Kuasa Politik
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan terus menjadi tumpuan apabila Forum Better Nation (BN) ke-11 mengupas perkembangan serta perubahan landskap politik negara menerusi tema “Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan: Dinamika Baharu Politik Malaysia” yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, malam tadi.
Forum BN ke-11 ini menjadi platform penting untuk menilai mesej pengundi, kekuatan parti politik serta arah baharu politik Malaysia selepas PRN berkenaan.
Pengarah Eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, keputusan untuk mengurus pertandingan kerusi menerusi persefahaman tertentu memberi kesan besar terhadap sokongan pengundi berbanding situasi pertandingan pelbagai penjuru sebelum ini.
“Keputusan untuk mengurus atau pun mengadakan persefahaman pertandingan kerusi amat pengaruhi. Dengan keputusan sebegini agak sukar untuk melihat sokongan pada UMNO dan PN. Sebelum ini melihat pertandingan ‘multi corner’ pelbagai penjuru.
“Persefahaman dan penggabungan dengan kedua-dua pihak terutamanya dalam kelompok UMNO dapat meredakan kemarahan serta ketidakpuasan pengundi pada tahun 2018 dan 2022. Rakan-rakan yang diambil dalam pimpinan parti untuk mempuk semula persefahaman dan persahabatan telah berjaya. Parti saingan turut mengalami masalah dan mereka mengalami penyusutan undi yang ketara.
“Sentimen dikalangan melayu cukup membantu dan mengatasi isu-isu lain yang memberi kesan kepada mereka. Bagi Johor, mood pengundi terhadap kerajaan negeri sangat baik dan mereka menghargai perkembangan ekonomi yang begitu baik. Bagi Negeri Sembilan pula, sentimen penyatuan politik melayu dan gandingan antara BN dan PN melampui factor lain, dengan ‘wave’ yang sangat besar,” katanya.
Bagi Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Madya Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri melihat terdapat trend pengundi yang kembali memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), dengan prestasi pentadbiran negeri menjadi antara faktor utama dalam membuat pertimbangan politik.
“Saya melihat trend pengundi kembali kepada BN dan apabila dibandingkan, ekonomi di Johor semakin melonjak, manakala di Negeri Sembilan, KDNK agak kurang sedikit. Di Johor, rakyat boleh menilai sendiri prestasi negeri itu, tetapi di Negeri Sembilan agak berlainan kerana BN merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
“Sememangnya terdapat kepercayaan yang kuat, tetapi pengundi hari ini melihat kepada prestasi dan sentimen juga memainkan peranan. Dengan keadaan politik sekarang serta kewujudan pelbagai parti, pengundi lebih terbuka untuk menilai parti politik sebagai satu pilihan dan membuat pertimbangan berdasarkan prestasi,” katanya lagi.
Sementara itu bagi Pensyarah Universiti Nottingham Malaysia Dr Bridget Welsh melihat perkembangan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan berlangsung dengan pantas dan berlaku perubahan ketara dalam corak sokongan pengundi.
“Kemenangan BN di sejumlah kerusi di Johor banyak dipengaruhi sokongan rakyat yang kembali diberikan kepada berkenaan.Banyak kerusi yang dimenangi BN diperoleh hasil sokongan rakyat. Perkara paling penting ialah kesatuan dan ramai pengundi kembali menyokong BN selepas kekalahan pada 2022.
“Saya fikir keputusan ini menunjukkan berlaku perubahan sokongan yang besar, termasuk kecenderungan pengundi untuk kembali melihat dan memberi sokongan kepada BN di kawasan tertentu,” jelasnya.
Bagi Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hishomuddin Bakar berkata, pendekatan politik di Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan wujud isyarat jelas daripada rakyat yang mahukan agenda Melayu dan Islam diberikan perhatian lebih besar, yang kemudiannya diterjemahkan menerusi sokongan kepada BN dan PN.

“Pendekatan terhadap agenda Melayu dan Islam ini melemaskan kelompok lain. Pengundi menghantar isyarat bahawa kerajaan tidak membantu Melayu dan Islam, akhirnya mereka mahukan Melayu dan Islam dan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN dan PN.
“Referendum yang diberikan di Johor dan Negeri Sembilan adalah ‘solid’, iaitu mahukan penyatuan Melayu dan Islam. Tetapi realitinya, siapa yang dominan akan menjadi penentu.
“Sejauh mana kompromi yang dibawa oleh elit politik? Referendum rakyat cukup jelas, tetapi elit politik jangan ‘menunggang’ gelombang ini sehingga hasrat dan harapan rakyat yang menjulang tinggi akhirnya dikecewakan,” ujarnya. – UMNO Online
