Pasca PRN Johor, Negeri Sembilan Buka Landskap Baharu Politik Negara

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan membuka beberapa persoalan besar mengenai perubahan landskap politik negara, termasuk corak sokongan pengundi, kedudukan Barisan Nasional (BN) serta potensi kerjasama jajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata perkembangan politik semasa menunjukkan pengundi semakin strategik dalam membuat pilihan dan tidak lagi terikat sepenuhnya kepada pola politik tradisional.

Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam Better Nation Forum (BN Forum) Siri Ke-11 yang berlangsung semalam, dengan membawa topik “Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan: Dinamika Baharu Politik Malaysia?”

Forum berkenaan dipengerusikan beliau sendiri bersama barisan panelis terdiri daripada Pengarah Program Merdeka Center, Ibrahim Sufian; Ketua Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar; Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri; serta Dr Bridget Welsh dari University of Nottingham Malaysia.

Menurut Dr Zambry, dinamika politik baharu perlu difahami berdasarkan realiti semasa kerana landskap politik hari ini tidak lagi boleh dibaca sepenuhnya menggunakan kerangka dan kebiasaan lama.

“Politik semakin dinamik, begitu juga sikap dan pertimbangan pengundi,” katanya.

Beliau berkata keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan memberikan pelbagai petunjuk mengenai perubahan tingkah laku politik serta pola pengundian, termasuk sejauh mana pengundi membuat pertimbangan berdasarkan faktor calon, isu, prestasi, kestabilan dan konfigurasi politik semasa.

Dalam masa sama, forum tersebut turut membincangkan kedudukan BN dalam landskap politik yang sedang berubah, hubungan antara parti-parti politik serta pengajaran yang boleh diambil daripada kedua-dua PRN berkenaan sebagai persediaan menuju PRU16.

Dr Zambry berkata, persoalan mengenai kerjasama jajaran politik baharu juga wajar dilihat secara lebih menyeluruh, sama ada ia sekadar strategi menghadapi pilihan raya atau berpotensi berkembang menjadi bentuk kerjasama politik yang lebih panjang.

Beliau berkata perbincangan terbuka dan berhemah mengenai perkembangan politik negara penting bagi memastikan pelbagai perspektif dapat difahami, khususnya ketika pola politik dan pertimbangan pengundi terus berubah.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan mengikuti forum ini secara langsung. Insya-Allah, kita akan terus membawakan tajuk-tajuk lain yang relevan dan penting untuk dibincangkan bersama, dalam jalur komunikasi yang berhemah, terbuka dan konstruktif.

“Kita mungkin mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi ruang dialog seperti ini penting untuk kita bertukar pandangan, memahami realiti dan mencari yang terbaik untuk negara,” katanya.

Dalam ucaptama pada forum yang berlangsung di Auditorium UMNO Menara Dato Onn malam tadi, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut menyentuh mengenai dinamika baharu politik yang perlu dibiasakan, selari dengan perubahan landskap politik serta sikap pengundi masa kini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO