Kepelikan Politik Dan Dinamika Baharu Demi Mandat Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Politik Malaysia berdepan suatu kepelikan apabila parti politik boleh bekerjasama dalam sebuah kerajaan di satu gelanggang, tetapi bertanding sesama sendiri bagi mendapatkan mandat rakyat di gelanggang yang lain, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Johor dan Negeri Sembilan adalah bukti bahawa kepelikan politik itu kini menjadi realiti.

“Kedua-dua negeri sudah membuat keputusan. Namun, perkara yang lebih penting bukan sekadar menghitung berapa kerusi yang dimenangi BN, PH atau PN. Pilihan raya memberi keputusan, tetapi di sebalik keputusan itu ada mesej yang perlu dibaca.

“Johor dan Negeri Sembilan memberikan dua pengalaman politik yang berbeza. Di Johor, BN berdiri dengan identitinya sendiri, kekuatan jentera, rekod pentadbiran serta wibawa kepimpinan negeri. Rakyat Johor memberikan mandat besar apabila BN memenangi 48 daripada 56 kerusi.

“Negeri Sembilan pula berbeza. BN dan PN memilih untuk tidak bertembung di kerusi yang dipersetujui. Kita tidak meleburkan identiti masing-masing, tetapi mencari titik temu atas semangat penyatuan fikrah, wahdatul qulub, wahdatul fikr dan wahdatul ‘amal. Hasilnya, BN bersama PN memperoleh 25 daripada 36 kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Better Nation (BN) Forum ke-11 bertajuk ‘Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan: Dinamika Baharu Politik Malaysia’, di Menara Dato’ Onn, malam ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong; Pengerusi UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta peserta-peserta forum BN.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, menjelaskan dinamika politik semasa menunjukkan pengundi semakin mudah berubah dan tiada mana-mana parti boleh lagi menganggap sesuatu kelompok sebagai “fixed deposit” politik.

“Pertama, pengundi mudah berubah. Tiada siapa boleh menganggap mana-mana kelompok sebagai fixed deposit politik mereka.

“Kedua, politik gabungan semakin fleksibel dan anjal. Kerjasama untuk mentadbir dan kerjasama menghadapi pilihan raya tidak semestinya sama,” jelasnya.

Menurut beliau, politik Melayu juga sedang melalui proses penjajaran semula dan parti-parti seperti UMNO serta Pas perlu mendapatkan kembali kepercayaan pengundi menerusi prestasi serta kemampuan membuktikan hasil, bukan sekadar bergantung kepada sentimen.

“Ketiga, politik Melayu sedang melalui penjajaran semula. UMNO, Pas mahupun parti-parti lain mesti mendapatkan kepercayaan pengundi Melayu melalui prestasi, bukan hanya sentimen.

“Keempat, pengundi bukan Melayu juga tidak boleh diambil mudah. Keyakinan mereka mesti diperoleh dan dipelihara terakhir, membandingkan politik prestasi atau persepsi sebaik-baiknya,” katanya lagi.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, tiada formula mutlak untuk menghadapi politik Malaysia selepas ini kerana setiap negeri mempunyai realiti politik dan demografi yang berbeza.

“Saya tidak mengatakan bahawa kita sudah mempunyai satu formula sempurna untuk menghadapi politik Malaysia selepas ini. Hakikatnya, ‘there is no one size fits all strategy’.

“Johor mempunyai realitinya, Negeri Sembilan mempunyai realitinya, begitu juga Melaka dan negeri-negeri lain. Strategi yang telah berjaya semalam belum tentu menjadi strategi terbaik untuk esok.

“Saya tahu banyak serangan akan terus datang kepada kita. Mereka sedang membaca kelemahan dan menjangka langkah kita. Tetapi mereka juga harus tahu dan kita juga sedang membaca mereka. Dalam politik, kelebihan bukan sentiasa pada siapa yang bergerak dahulu, tetapi siapa yang paling memahami medan dan tahu bila masanya untuk melakukan sesuatu yang tidak dijangka,” jelasnya lagi.

Justeru, beliau turut menyifatkan perkembangan di Johor dan Negeri Sembilan sebagai petunjuk penting yang perlu dianalisis secara serius bagi membentuk pendekatan politik lebih berkesan pada masa depan.

“Johor dan Negeri Sembilan telah memberikan kita petunjuk. Tugas kita sekarang ialah membaca dinamika ini dengan tepat, menyesuaikan strategi dan memastikan Gelombang Biru bukan sekadar beralun di beberapa negeri, tetapi akhirnya mendapat keyakinan rakyat di seluruh negara,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO