1 Ogos Hari Penentuan, Parti Manakah Jadi Pilihan Rakyat N. Sembilan
SEREMBAN, 1 Ogos – Seramai 859,760 daripada 889,940 pengundi berdaftar layak mengundi pada hari ini bagi menentukan parti manakah yang akan menubuhkan kerajaan baharu bagi Negeri Sembilan untuk penggal akan datang setelah tirai kempen dilabuhkan tepat 11.59 malam tadi selepas berlangsung selama 14 hari bermula 18 Julai lalu.
Mengikut maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dibuka bermula jam 8 pagi ini dan akan ditutup jam 6 petang dengan penglibatan seramai 15,344 petugas pilihan raya akan terbabit dalam proses mengundi.

Pada PRN Negeri Sembilan ini juga SPR akan melaksanakan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) semasa proses mengundi yang akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor melibatkan Saluran 1 hingga 7 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan sebagai usaha menambah baik pengurusan proses pilihan raya.
Dilaporkan, pada Selasa lalu, sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah melaksanakan tanggungjawab mereka di 38 pusat mengundi awal.
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan melibatkan secara keseluruhan seramai 22,339 pemilih dengan 16,467 orang mengundi secara fizikal merangkumi 11,293 tentera dan pasangan serta 5,174 polis dan pasangan manakala selebihnya mengundi secara pos.
PRN kali ini menyaksikan keseluruhan 103 calon sah bertanding merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan pertandingan tiga penjuru di 21 kerusi DUN, diikuti 11 kerusi dua penjuru, manakala masing-masing dua kerusi melibatkan pertandingan empat penjuru dan lima penjuru.
Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon, Perikatan Nasional (PN) 11 calon dan Bebas empat calon.
Manakala masing-masing seorang calon bagi Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kira-kira 70 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini, dengan keputusan penuh dijangka diumumkan seawal 10 malam.
PH bertanding di semua 36 kerusi DUN, diikuti BN (25) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24), Perikatan Nasional (PN) (11), empat calon Bebas manakala Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, BN mengadakan persefahaman kerjasama dengan PN bagi merampas kerajaan negeri yang sebelum ini di bawah PH. – UMNO ONLINE
